Masalah di kawasan pantai sepanjang hampir dua kilometer itu berlaku sejak 10 tahun lalu tanpa sebarang tindakan diambil bagi menyelesaikannya.

Tinjauan dibuat CAP baru-baru ini mendapati masalah sampah yang terdampar di kawasan pantai tersebut memang cukup teruk termasuk bahan buangan plastik, sisa kayu dan ranting pokok.

Di samping itu, pantai berkenaan turut mengalami hakisan dan terdapat sesetengah kawasan mengalami masalah tanah runtuh yang teruk. Dianggarkan kira-kira 100 meter tanah di daratan telah dihakis masuk ke dalam laut setelah dibadai ombak.

Pokok bakau dan ru yang terdapat di sepanjang pantai itu banyak yang tumbang dan CAP percaya dengan ketiadaan pokok-pokok bagi menahan angin kuat dan ombak, masalah hakisan akan bertambah teruk pada masa depan.

CAP bimbang jika keadaan itu dibiarkan berlarutan, rumah-rumah dan kawasan pertanian berdekatan akan turut terjejas kerana setiap kali ombak besar melanda, air laut dan sampah melimpah masuk ke kawasan penempatan penduduk.

Kerajaan negeri, MPSPK, jabatan dan agensi berkaitan perlu menjalankan kajian bagi mengetahui punca pencemaran dan hakisan pantai di situ serta harus mendedahkan kepada umum hasil kajian dan langkah-langkah bagi mengatasi masalah itu.

Masalah yang berlaku itu perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak kerana melibatkan isu alam sekitar yang boleh mencetuskan ancaman lebih besar pada masa akan datang jika dibiarkan berterusan.

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden CAP