Semua mengetahui jasa besar Faaland yang mencetuskan idea Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membasmi kemiskinan dan pada masa sama mengagihkan kek ekonomi negara secara saksama kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum. DEB pada asasnya telah berjaya mengubah struktur ekonomi negara dan rakyat Malaysia pada tahap yang lebih baik. Rakyat Malaysia kini berada pada kedudukan lebih baik berbanding kebanyakan rakyat negara lain. Bahkan tidak keterlaluan dikatakan bahawa melalui DEB reputasi Malaysia semakin terserlah de­ngan melahirkan ramai pemimpin, cendekiawan dan tokoh korporat yang mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Mereka kini berkhidmat dan menabur bakti dalam pelbagai organisasi sama ada dalam atau luar negara. Sumbangan DEB cukup besar sampaikan negara-negara maju di dunia pun cukup mengenali Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur. Malah, mereka sendiri cuba untuk mengaplikasikan prinsip kesaksamaan DEB di negara masing-masing. Melalui DEB juga, sistem pendidikan negara semakin maju setelah begitu ramai cendekiawan dan cerdik pandai dilahirkan ketika era DEB membantu mentransformasikan sistem pendidikan negara.

Tidak kurang juga mereka yang telah menunjukkan potensi dalam sektor perniagaan sehinggakan ramai ahli-ahli perniagaan luar negara sanggup bekerjasama dengan tokoh-tokoh perniagaan tempatan. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa kekuatan ekonomi Malaysia kini hasil daripada pelaksa­naan DEB yang dimulakan ketika era Perdana Menteri Ke­dua, Tun Abdul Razak Bin Hussein.

Tun Abdul Razak dan Dr. Just Faaland, kedua-duanya adalah tokoh yang disegani oleh rakyat Malaysia telah melahirkan idea masa hadapan demi kemakmuran Malaysia dan kesejahteraan rakyatnya. Idea kesaksamaan dalam ekonomi sememangnya berbeza sama sekali berbanding sistem kapitalis yang dicanangkan oleh barat ketika itu.

Sebagai sebuah negara majmuk yang mana kaum Bumiputera adalah kaum majoriti penduduk Malaysia, maka mahu tidak mahu sistem ekonomi berasaskan kesaksamaan dan keadilan adalah teras kemakmuran ekonomi Malaysia. Dalam hal ini, meskipun bibit-bi­bit kejayaan daripada pelaksanaan DEB telah mula menampakkan hasil, namun semangat DEB tidak boleh terhenti begitu sahaja dan perlu diteruskan meskipun selepas 2020.

Hal ini berlaku sedemikian kerana intipati pelaksanaan DEB pada era 1970-an sehingga 1990-an amat bersesuaian pada masa kini dan akan datang. Mengambil contoh dasar afirmatif yang bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah dan miskin mengharungi kehidupan yang lebih selesa pada masa akan datang. Memang be­tul, DEB telah berjaya membasmi kemiskinan tegar, namun dalam konteks pada masa kini dan pada masa akan datang kemiskinan bandar dan golongan berpendapatan rendah juga perlu dibantu. Bahkan, mereka yang dikategorikan sebagai golongan berpendapatan sederhana juga perlu dibantu untuk maju ke hadapan sehingga mampu mengubah kehidupan mereka ke tahap golong­an berpendapatan tinggi.

Sudah tentu kita tidak mahu melihat hanya sedikit sahaja peratusan mereka yang dikategorikan berpendapatan tinggi menjelang 2050. Dengan kata lain, perlu ada perbezaan status ekonomi antara masyarakat Transformasi Nasio­nal 2050 (TN50) dan masyarakat sekarang. Kategori 80 peratus rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana dan rendah (B40 dan M40) ini perlu ditingkatkan ke tahap ekonomi yang lebih baik terutamanya ke peringkat golong­an berpendapatan tinggi.

Dengan kata lain, kedudukan 80 peratus rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana dan rendah pada masa kini tidak sewajarnya kekal menjelang tahun 2050. Peratusan ini perlu diturunkan yang mana golongan berpendapatan tinggi mencapai tahap peratusan yang benar-benar menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur, bahagia dan sejahtera buat rakyat Malaysia. Teras kesaksamaan ini amat bersesuaian dengan Model Baharu Ekonomi (MBE) yang menekankan aspek keterangkuman, mapan dan berpendapatan tinggi. Mereka yang kini menjalani kehidupan sebagai golongan berpendapatan sederhana dan rendah, miskin bandar mahupun luar bandar perlu segera diberikan perhatian oleh kerajaan bagi meningkatkan pendapatan mereka pada tahap yang lebih baik. Kebetulan pula, prinsip kesaksamaan ini mengambil kira kesejahteraan kaum lain dan tidak semata-mata kaum Bumiputera meskipun secara kebetulan majori­ti golongan berpendapatan rendah terdiri daripada kaum Bumiputera.

Sasaran peratusan rakyat Malaysia berpendapatan tinggi menjelang 2050 perlu ditetapkan pada masa sekarang bagi membolehkan strategi-strategi yang berkesan dapat dilaksanakan untuk mencapai tujuan ini. Misalnya, jika sasaran 50 peratus rakyat Malaysia berpendapatan tinggi pada 2050 itu adalah realistik, maka apakah strategi-strategi untuk mencapai peratusan ini dan pada masa yang sama mengurangkan peratusan golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah. Walau apa pun peratusan sasaran itu, biarlah ia realistik dan pada masa yang sama menggambarkan betapa segala usaha melalui pelbagai polisi dan dasar yang mengambil kira kesinambungan semangat DEB itu telah membuahkan hasil yang nyata buat negara dan rakyat Malaysia.

Dengan kata mudah, teras DEB berasaskan prinsip kesaksamaan ekonomi sememangnya cukup baik diteruskan merentasi zaman demi kebaikan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Sebab itulah kedua-dua tokoh besar negara iaitu Tun Abdul Razak dan Dr. Just Faaland begitu mengambil berat masa hadapan rakyat Malaysia meskipun pada ketika DEB digubal, tidak sampai 20 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Jadi, wajar sama sekali prinsip kesaksamaan ini diteruskan sebagai teras utama dalam memajukan ekonomi negara dan rakyat Malaysia. Malah, ia perlu diamalkan dalam ekonomi rakyat Malaysia demi merealisasikan sebuah masyarakat TN50 yang begitu kuat dan kukuh dalam aspek ekonominya.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia.