Setelah sekian lama kedua parti terbesar Melayu dan Islam ini sanggah-menyanggah dalam mempertahankan ideologi politik masing-masing di akhir-akhir ini nampaknya ada usaha untuk membuatkan kedua-dua parti itu menjalinkan kerjasama atas nama Islam dan Melayu.

Sungguhpun begitu hala tuju ke arah hasrat tersebut masih belum jelas meskipun desakan daripada orang Melayu agar kedua-duanya bekerjasama cukup hebat. Secara peribadi, saya mahu kedua-dua parti ini bekerjasama.

Pas mendakwa mereka memperjuangkan Islam dan UMNO mendakwa membela nasib orang Melayu. Dalam konteks negara Malaysia, Islam dan orang Melayu, ‘DNA’ yang sama. Maksudnya, kuat Melayu, kuatlah Islam. Hancur Melayu, hancurlah Islam.

Apa yang pasti sekukuh mana pun jika satu parti itu bersendirian, tentu tidak boleh menandingi lawan yang berpadu. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang telah memperlihatkan kesungguhan untuk ‘bertahaluf siyasi’.

Namun saya difahamkan ada pemimpin UMNO yang tidak bersetuju. Sehingga ada yang bertindak drastik keluar parti. Begitu juga dalam kalangan pemimpin Pas, ada yang sangsi. Mereka mengambil sikap tunggu dan lihat.

Terpulanglah kepada masing-masing tetapi jika saya ditanya, saya akan jawab jika UMNO dan Pas bercita-cita mahu menawan Putrajaya dan bersungguh-sungguh mahu memperjuangkan Islam, bangsa dan negara, wajarlah bekerjasama dan merangka strategi daripada sekarang. Lupakan sengketa masa silam.

Kerjasama ini perlu diterjemahkan dalam suasana yang lebih jitu dan meyakinkan. Keikhlasan dan kesungguhan pemimpin atasan adalah penentunya. Begitu juga di peringkat pemimpin sayap dan akar umbi. Ahli UMNO dan ahli Pas perlu ‘dimesrakan’. Jangan lagi ada perasaan dendam dan benci.

Selepas ini akan berlangsung Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau. Diharap kerjasama UMNO-Pas direstui Allah di Rantau.

NAZRI SHAM

Chenor, Pahang