Kita semua faham mengapa kerjasama ini tiba-tiba tercetus walaupun sejarah hubungan antara kedua-dua parti tersebut semua sedia maklum.

Sesungguhnya kedua-dua parti ini telah menerima nasib yang sama dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Kedua-duanya hampir ‘ditelanjangkan’.

Setelah begitu teruk dibelasah, kedua-dua parti ini sedar setelah bermuhasabah akan diri masing-masing bahawa tidak ada pilihan selain bekerjasama di antara mereka untuk kelangsungan bangsa Melayu dan agama Islam.

Walaupun ramai yang sangsi atau ragu-ragu, kita mesti lihat ia sebagai satu langkah yang positif untuk kelangsungan bangsa dan agama. Namun, kedua-dua pihak perlu memperincikan bukan sahaja dari segi dasar tetapi juga cara perlaksanaan yang boleh mereka lakukan dalam apa jua bidang yang dianggap penting dan kritikal.

Perlu diingat, kedua-dua parti ini mempunyai ideologi politik yang amat berbeza.

Oleh itu, kedua-duanya perlu mencari titik tengah dalam apa jua perbezaan.

Kerjasama Pas dan UMNO ini akan membentuk satu gabungan pembangkang yang kuat. Ini amat perlu bukan saja dalam amalan demokrasi tetapi juga mengadakan check and balance kepada kerajaan yang memerintah.

UMNO tidak boleh lagi mengharapkan orang lain yang meninggalkan mereka ketika dalam kesusahan, Pas pula tidak ada cara lain untuk mengembangkan sayapnya dan mendapatkan sokongan orang Melayu di negeri-negeri pantai barat.

Mungkin ada juga dalam kalangan rakyat yang mentafsirkan langkah ini akan menebalkan lagi fahaman politik perkauman. Apa salahnya politik perkauman? Tidakkah semua parti politik dalam negara ini mengamalkan politik perkauman?

Mana mungkin semua bangsa yang ada dalam negara kita boleh melupakan kepentingan kaum sendiri. Apa yang kita harapkan sekarang, kerjasama Pas dan UMNO ini akan dapat menzahirkan pembangkang yang kuat.

Terlalu awal untuk fikirkan gabungan memerintah dalam PRU-15. Jika pemimpin UMNO yang ada didakwa dan bilangannya mungkin ramai, pasti terbantut rancangan awal jika ramai yang dihukum penjara.

Namun, ini juga masa terbaik untuk UMNO membersihkan parti daripada anasir-anasir jahat dan membina semula kekuatan yang berteraskan integriti dan ketelusan supaya di terima semula orang Melayu dan semua bangsa di negara ini.

AHMAD SIDEK

Petaling Jaya