PLUS Malaysia Berhad (PLUS) terlebih dahulu mengucapkan terima kasih di atas maklum balas yang telah dikemukakan DAENG CELAK dari Kluang, Johor.

Untuk makluman, buat masa ini kawasan rehat dan rawat (R&R) Rawang (arah utara) sedang giat menjalani kerja-kerja naik taraf yang dijangka siap dalam suku ketiga tahun depan. Pada masa ini, pengunjung lebuh raya masih lagi dapat menggunakan kemudahan yang disediakan di restoran sate, motel dan stesen minyak sedia ada.

Walau bagaimanapun, seluruh kemudahan di kawasan R&R itu termasuk restoran sate dan motel akan mula ditutup sepenuhnya kepada orang ramai bermula Januari 2017. Ini bagi membolehkan kerja-kerja naik taraf laluan dan jalan di hentian rehat tersebut dapat dijalankan di samping memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya.

Selain itu, tandas dan surau sementara akan disediakan dan stesen minyak masih dibuka serta beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh tersebut.

MOHD. NIZAM ISMAIL

Ketua Komunikasi Strategik PLUS Malaysia Berhad