Sebagai seorang anak Melayu yang terlibat dalam industri pesawat terbang tanpa pemandu (UAV), saya merasakan kejian dan hinaan yang ditujukan kepada menteri itu agak keterlaluan. Saya percaya, ramai rakan yang sekian lama terlibat dalam industri UAV mempunyai perspektif dan pandangan berbeza.

Mereka yang mengeji mungkin terlupa, apa yang tersirat di sebalik kenyataan itu adalah membina kemampuan daya cipta, inovasi, keusahawanan berasaskan kejuruteraan, budaya penciptaan dan kecerdasan buatan (artificial intelligence).

Sebagai pemain dalam industri UAV, saya menganggap ini adalah kenyataan bijaksana dan maju oleh seorang menteri. Apakah kerana beliau seorang Menteri Pembangunan Usahawan, maka beliau mesti terus bercakap tentang industri tempe, kerepek pisang, pisang salai dan keladi semata-mata?

Ini bukan soal kita mahu setanding dengan orang lain, namun kita mesti cekal membina budaya dan wibawa fikir yang baharu. Jika anak Malaysia mampu mencipta kereta terbang setanding model Ehang, Aeromobil, Skycar, Terrafugia, ia harus membawa rasa bangga.

Sebagai pemain dalam industri UAV kecil-kecilan; kesungguhan seorang Menteri Pembangunan Usahawan dalam membicarakan idea-idea besar teknologi sebegini sememangnya cukup menarik perhatian. Yang kami harapkan, jangan melihat kepada satu atau dua syarikat semata-mata. Lihat ekosistem industri UAV ini secara keseluruhannya. Menteri perlu berjumpa dengan lebih ramai pemain industri. Dengar pandangan dan aspirasi mereka secara keseluruhannya. Dari situ, baharulah disusun gerak kerja lebih teratur di peringkat kementerian. Pastikan kalangan agensi berkenaan mendalami dan menghargai niat Pak Menteri.

Saya mengharapkan Menteri Pembangunan Usahawan tidak serik untuk mengemukakan pandangan yang wajar demi masa hadapan orang Melayu. Mereka yang pandir dan terus selesa dengan lawak hambar, wajar diketepikan. Malaysia Baharu tidak seharusnya bertoleransi dengan mereka yang berminda longlai dan lembam. Kita perlukan kalangan pemimpin yang berani menongkah arus dan bukan sekadar mereka yang mahu memanaskan kerusi empuk.

Kita tidak mahu mereka yang kecut hati dan seriau dengan kata nista dan hinaan.

BEN ZAIN

Keramat AU3