Jiran saya sudah membuat aduan secara dalam talian kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Oktober 2017, Februari 2018, Oktober 2018 dan Mac 2019.

Namun sehingga kini, kenderaan buruk masih tersadai sepanjang jalan dan MBSA ternyata seolah-olah menutup mata serta semacam berpura-pura tidak ada apa-apa yang berlaku.

Jalan Hikmat 25/82 terletak berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda dan merupakan jalan utama bagi kebanyakan pelajar, pekerja dan penduduk. Kereta-kereta yang tersadai sejak beberapa tahun lalu menghalang laluan selain air hujan bertakung serta mungkin tempat nyamuk membiak.

Difahamkan kereta-kereta buruk ini diletakkan oleh seorang penduduk yang menjadikan rumahnya di Taman Sri Muda sebagai bengkel kereta secara haram. Entah apa sebenarnya ‘persefahaman’ antara pemilik bengkel haram itu dengan MBSA sehingga membuatkan bengkel haram itu boleh beroperasi secara terbuka. Sekiranya MBSA masih gagal bertindak, mungkin aduan perlu dibuat ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

PENDUDUK SRI MUDA

Shah Alam