Aksi tersebut telah menarik perhatian banyak pihak. Saya sendiri turut tertarik dengan aksi-aksi yang ditunjukkan. Memang menarik dan menyeronokkan.

Fenomena seperti itu sudah tidak lagi kelihatan sejak kebelakangan ini, khususnya di Kedah yang dikenali sebagai negeri jelapang padi suatu ketika dahulu.

Sekitar 1950-an dahulu, kerbau sangat senang ditemui di seluruh Kedah terutama di kawasan sawah daerah Pendang, Yan, Kota Setar dan Kubang Pasu.

Kerbau dipelihara bagi membajak sawah di samping faedah lain seperti untuk dijual ketika terdesak dan disembelih semasa kenduri kahwin.

Sebenarnya pada masa sekarang, kerbau hampir dilupakan oleh masyarakat kita terutama orang Melayu termasuk golongan pesawah.

Saya tidak pasti di negeri-negeri lain tetapi di Kedah khususnya di kawasan sawah, mengikut pemerhatian, boleh dikatakan hampir keseluruhannya, kerbau tidak lagi kelihatan sejak beberapa dekad kebelakangan ini.

Malah, saya difahamkan daging kerbau yang dijual di pasaran sama ada di pasar basah atau pasar raya juga diimport dari negara luar.

Keadaan ini berlaku sedikit demi sedikit dan seterusnya semakin hilang daripada berada dalam masyarakat Melayu luar bandar, khususnya pesawah.

Ini apabila cara membajak sawah ditukar daripada mengguna tenaga kerbau kepada penggunaan teknologi moden seperti traktor.

Walaupun sudah ada teknologi moden, saya rasa kita masih memerlukan sumbangan daging dan susu kerbau. Susu kerbau sama sedap rasanya dengan susu lembu.

Sekiranya benar bagai dikata bahawa daging kerbau yang dijual di pasar basah atau di pasar raya itu adalah sumbangan daging import dari negara luar apa salahnya kita menternak sendiri kerbau untuk mendapatkan daging?

CHU MAN

Pendang, Kedah