Masalah ini amat membimbangkan kerana sudah pasti mendatangkan kesan negatif ke atas pertumbuhan psikologi, fizikal, ekonomi dan pembangunan seseorang individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Keluarga adalah komponen penting dalam proses pembentukan masyarakat dan negara. Tanpa institusi keluarga, kewujudan negara tidak akan sempurna. Dalam Islam, tanggungjawab kepimpinan keluarga pada asasnya terletak pada kaum lelaki.

Walau bagaimanapun, dalam memastikan kejayaan institusi ini, ibu dan bapa seharusnya memainkan peranan yang sama penting.

Malangnya kehidupan manusia pada hari ini semakin jauh daripada nilai-nilai moral yang terkandung dalam al-Quran. Fenomena ini berbeza jika dibandingkan dengan kehidupan para sahabat iaitu generasi pertama didikan Rasulullah.

Nilai-nilai moral yang ada hari ini agak berubah dan menyimpang. Saban hari bilangan anak Melayu yang terlibat dalam perkara-perkara yang tidak diingini semakin meningkat. Peratusan anak Melayu yang terlibat dalam gejala negatif amat membimbangkan. Ini kerana anak-anak hari ini bakal pemimpin masa depan.

Oleh itu, pendidikan berkualiti daripada ibu bapa sangat diperlukan dalam cabaran dunia globalisasi masa kini. Hal ini amat penting terutamanya dalam menyediakan bekalan ilmu untuk mengharungi kehidupan pada masa hadapan.

Kegagalan ibu bapa untuk berperanan sebagai pendidik akan mengundang pelbagai gejala sosial yang boleh memudaratkan masyarakat dan negara. Sebagai ibu bapa Muslim, kita perlu menghayati ajaran agama Islam sepenuhnya kerana itulah satu-satunya jalan untuk mencapai kesejahteraan dalam kehidupan manusia.

Ibu bapa mampu menyumbang ke arah pembentukan sebuah tamadun bangsa melalui tiga kaedah pendidikan asas iaitu pendidikan melalui teladan, menekankan aspek kerohanian serta kedudukan dan kelangsungan bangsa.

Institusi keluarga yang dipimpin oleh ibu bapa mempunyai integriti yang tinggi sebagai asas pembentukan sebuah masyarakat. Masyarakat yang memiliki dan menguasai ilmu pengetahuan dan akhlak yang mulia merupakan elemen penting untuk membentuk sebuah tamadun bangsa.

NOR RAIHAN ABD. RAHIM

Nilai, Negeri Sembilan