Baru-baru ini, saya telah pergi ke sekolah tersebut untuk mendaftarkan anak ke tingkatan satu tahun hadapan selepas anak saya memaklumkan ibu bapa diarahkan berbuat demikian pada tarikh yang diberikan pentadbiran sekolah rendah.

Anak saya turut memaklumkan hanya arahan lisan diberikan sekolah rendah dengan nama sekolah untuk setiap murid dan tiada dokumen disediakan. Memandangkan ini kali pertama mendaftar anak ke sekolah menengah, saya hanya mengikut apa diarahkan itu.

Pada mulanya, saya dilayan baik kerani di kaunter hadapan SMK Desa Serdang tetapi kemudian ditengking seorang kerani pejabat atas alasan ‘memandai-mandai’ datang mendaftar anak tanpa dokumen.

Sudahlah terpaksa mengambil cuti kecemasan, tiba-tiba pula dihambur bahasa kasar kerani sekolah sedangkan saya dan beberapa ibu bapa lain datang bertanya dengan baik.

Ketika mahu pulang, saya ditengking pengawal sekolah pula kerana masuk dengan kereta dalam kawasan sekolah sedangkan ketika sampai, pintu pagar dibuka luas dan tiada sesiapa pun di pondok pengawal.

Mungkin ada sesetengah perkara adalah salah saya tetapi persoalan utama, kenapa perlu berbahasa kasar? Ibu bapa bukannya penjenayah yang datang merompak, kami cuma mahu membuat urusan persekolah anak.

Tambahan pula kami bukannya budak kecil untuk ditengking, apa salahnya bercakap dengan elok? Sekiranya ibu bapa itu sendiri yang mula menengking, barulah masuk akal untuk bersaing juara nada tinggi.

IBU PANAS

Kuala Lumpur