Sebaik sahaja pulang ke tanah air, saya membaca semua akhbar yang dibeli oleh anak saya. Antara isu yang dipolimikkan, ada dua isu menarik perhatian saya, iaitu isu kasut sekolah dan isu larangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap semua agensi pendidikan, sekolah dan pusat pengajian tinggi melanggani akhbar Utusan Malaysia.

Isu kasut sekolah yang perlu ditukar kepada warna hitam adalah cetusan idea seorang menteri. Alasannya tidak mahu murid menghabiskan banyak masa membasuh kasut.

Barangkali menteri berkenaan berfikiran kalau murid memakai kasut hitam, kasut itu tidak perlu dibasuh dan murid boleh menjimatkan masa dan kos.

Bagi murid yang malas dan ibu bapa yang kedekut, tentu sekali amat bersetuju dengan idea ini.

Mengambil kira pendekatan Islam, kaedah ini sama sekali tidak wajar diamalkan.

Kasut juga adalah sebahagian daripada pakaian, tidak kira apa warna sekali pun, ia perlu sentiasa bersih.

Satu lagi isu iaitu arahan menyekat langganan akhbar Utusan Malaysia di semua agensi pendidikan, sekolah dan pusat pengajian tinggi di seluruh negara.

Sekatan ini amatlah tidak wajar dan melanggar ‘aku janji’ Tun Dr. Mahathir Mohamad, di mana beliau tidak akan menyekat kebebasan pengamal media walaupun tidak sedap didengar oleh pihak kerajaan.

Di awal pembentukan kerajaan PH, Datuk Seri Anwar Ibarahim ada mengeluarkan kenyataan kerajaan PH tidak harus terpesona dengan media massa yang membodek kerana kalau sentiasa dibodek, kerajaan PH tidak dapat membetulkan kesilapan.Mengambil kira ‘aku janji’ kedua-dua pemimpin tertinggi kerajaan PH itu, saya berpendapat kerajaan PH telah mula ‘takut’ dengan bayang sendiri.

NAZRI SHAM

Chenor, Pahang