Tidakkah pernah terfikir dalam kalangan pemimpin PH apabila sesuatu pasukan menyertai sebarang pertandingan akan berdepan dengan tiga kemungkinan iaitu menang, kalah ataupun seri?

Sekalipun pertandingan itu melibatkan pasukan yang hebat menentang pasukan underdog, Kedua-dua pasukan tetap berkemungkinan akan menerima salah satu daripada keputusan tersebut.

Kini ternyata PH yang tidak yakin menang pada hakikatnya telah menerima kemenangan tidak diduga. Bila dah menang, tentulah pihak yang memainkan peranan memberi kemenangan kepada PH iaitu pengundi atau rakyat akan menuntut hak mereka.

Jadi, mana mungkin dengan sewenang-wenangnya pemimpin PH dengan begitu mudah memberi pelbagai alasan apabila tidak mampu menunaikan janji mereka.

Sepatutnya dengan begitu mudah sahaja pemimpin PH boleh menunaikan segala janji sebagaimana mudahnya mereka menabur janji kepada pengundi sebelum pilihan raya.

Barulah pengundi betul-betul rasa puas dan berbaloi menyokong pemimpin-pemimpin yang menawan Parlimen hari ini.

Awal-awal lagi nampaknya kepimpinan PH sudah mula ‘menipu’ atau mempermainkan rakyat.

Ini tentu sekali tidak selari dengan segala ucapan Perdana Menteri yang selalu bercakap sebagai orang Melayu beragama Islam mestilah mengikut dan mengamalkan sifat-sifat baik dalam Islam seperti menunaikan tanggungjawab, amanah, menjaga integriti dan sebagainya.

Oleh itu, adalah lebih baik semua pemimpin PH mengaku kesilapan membuat janji tanpa meramalkan adanya kemungkinan apa yang diandaikan sebelum membuat janji-janji baharu.

Permintaan maaf secara terbuka adalah lebih baik untuk menghilangkan rasa kecewa rakyat kerana dipermainkan kononnya ada perkara yang ‘terlepas pandang’ masa janji dibuat dahulu.

Rakyat akan ada persepsi buruk terhadap kepemimpinan PH apabila mereka dengan mudah dan angkuh berkata tidak perlu minta maaf atau sekadar mengatakan bahawa manifesto bukan kitab suci.

Islam amat menekankan kewajipan menunaikan janji sebab itu sebaik-baiknya sesiapa sahaja yang berjanji mesti fikir dengan mendalam sebelum membuat janji. Kena fikirkan kemampuan untuk menunaikannya juga.

Rakyat bukan sahaja tidak suka pemimpin yang mencuri tapi rakyat juga benci pemimpin yang menipu.

Pemimpin yang baik dan mengamalkan nilai-nilai murni dianjurkan Islam pastinya akan disanjung dan diteladani. Jangan jadi macam ketam yang mengajar anak jalan lurus tapi diri sendiri jalan senget.

ZULKIFLI Z. ABIDIN