Setelah memegang tampuk pemerintahan negara, kerajaan Pusat yang baharu telah pun melaksanakan beberapa tindakan segera selaras dengan aspirasi rakyat. Pendirian kerajaan yang meletakkan kepentingan rakyat mendahului kepentingan lain wajar dipuji.

Namun, beberapa kenyataan dari pihak kerajaan khususnya berkenaan permasalahan ‘hutang negara’ amat merisaukan saya. Ini kerana saya berpandangan kenyataan yang dikeluarkan itu bersifat tidak lengkap dan mampu menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan rakyat.

Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 21 Mei 2018 dalam perhimpunan pertama beliau bersama kakitangan Jabatan Perdana Menteri di mana beliau berkata: “Kewangan Negara kini sudah dicabul dengan begitu besar sehingga kerajaan menghadapi masalah penyelesaian hutang yang mencecah hampir RM1 trilion”, adalah sesuatu yang tidak berasas malah berpotensi tinggi mengelirukan dan meresahkan bukan sekadar rakyat, malah pelabur asing.

Dalam suatu kenyataan berasingan, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 24 Mei 2018 menyatakan bahawa hutang rasmi kerajaan Persekutuan hanya bernilai RM686.6 billion ataupun pada paras 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dalam kenyataan sama, Menteri Kewangan turut menekankan bahawa jumlah RM1 trilion yang dikatakan itu hanya terjadi jika kita mengambil kira sekali Jaminan Kerajaan yang bernilai RM199.1 billion serta bayaran pajakan bagi kerjasama sektor kerajaan-swasta yang bernilai RM201.4 bilion.

Malah, beliau turut menyatakan beberapa contoh Jaminan Kerajaan yang mana pada pandangan saya bersifat terpilih. Menteri Kewangan hanya mengemukakan contoh Jaminan Kerajaan yang telah dibantah oleh parti beliau selama ini serta berkepentingan dalam soal survival politik parti seperti jaminan yang diberikan kerajaan terdahulu kepada Malaysian Rail-Link Sdn. Bhd. (MRL) dan 1MDB.

Saya berasa pelik kenapa beliau mahupun mana-mana anggota kerajaan baharu ini termasuk Perdana Menteri sendiri tidak langsung menyebut tentang Jaminan Kerajaan yang lain seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mahupun Tabung Haji.

Perkara ini seolah-olah menunjukkan bahawa mereka masih mahu bermain politik dan bukannya berusaha untuk memartabatkan semula pentadbiran negara ke arah yang lebih berkualiti.

Hasil daripada sikap mereka ini, ramai pihak termasuk rakyat dan pelabur kini keliru. Seperti yang dijangka, kenyataan-kenyataan yang bercanggah antara satu sama lain telah pun memberi kesan kepada ekonomi negara.

Kredit rating dari agensi-agensi kewangan dari seluruh dunia terhadap negara ini telah pun menimbulkan keraguan pihak pelabur sehinggakan Bursa Malaysia kini berada tahap terendah sejak lima bulan lalu seperti mana dilaporkan oleh The Edge Markets.

Rakyat khususnya golongan muda yang menyumbang kepada gelombang perubahan ini pula kini melakukan pelbagai inisiatif seperti mengumpul dana secara kolektif dan juga secara individu untuk membantu kerajaan melupuskan hutang RM1 trilion yang dikatakan itu.

Saya akui ini adalah satu tindakan yang bersifat cukup patriotik tetapi apa guna segala usaha ini tatkala hampir 60 peratus peminjam PTPTN yang turut menyumbang kepada peningkatan hutang negara dari segi Jaminan Kerajaan melibatkan RM1.84 billion belum lagi membuat sebarang bayaran?

Adakah kita sedang memperbodohkan diri sendiri dengan permainan politik sekali lagi?

 

MATHIS SARAWANAN

Setiausaha Barisan Nasional Youth Volunteers Pulau Pinang