CAP berpandangan cara paling berkesan untuk menyelesaikan masalah rumah di negara ini adalah tentang keperluan Kerajaan Persekutuan mengambil alih projek pembinaan perumahan awam seperti yang pernah dilakukan pada era 1960-an. GAMBAR IHSAN PEMBACA

Yang pasti, kebanyakan rumah yang ada di pasaran harganya terlalu tinggi manakala penyediaan rumah murah pula terlalu terhad bilangannya untuk dibeli penduduk. Apa pun Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) percaya terdapat pelbagai skim perumahan awam yang Malaysia boleh dilaksanakan atau disesuaikan mengikut keperluan penduduk tempatan.

Antara contoh terbaik adalah projek perumahan kos rendah di Rumah Pangsa Padang Tembak, di Ayer Itam, Pulau Pinang yang dibina pada 1969, Rumah Pangsa Padang Tembak terdiri daripada sembilan blok bangunan setinggi 17 tingkat dengan 3,888 unit di atas tapak seluas 16.7 hektar.

Dengan unit rumah pangsa bersaiz purata 31.6 meter persegi dan mempunyai satu bilik, penduduk mampu untuk memiliki unit rumah pangsa di bawah skim sewa beli dengan membayar RM30 sebulan dalam tempoh 30 tahun.

Itu adalah kaedah paling berkesan untuk menyediakan perumahan kepada golongan miskin serta memberikan jaminan kepada mereka untuk terus mendiami rumah tersebut selagi mematuhi syarat ditetapkan. Penjualannya juga dikawal ketat oleh kerajaan negeri Pulau Pinang bagi memastikan unit-unit yang dijual itu hanya untuk mereka yang benar-benar layak dan amat memerlukan rumah.

Langkah itu juga secara tidak langsung berperanan mengawal spekulasi harga. Bagaimanapun, skim perumahan awam kini tidak mendapat perhatian sebaliknya kompleks beli-belah lebih diutamakan. Pada 1992, seluruh negara mempunyai 1.2 juta meter persegi ruang kompleks beli-belah dan menjelang 2015 telah berkembang kepada 31.8 juta meter persegi.

Persoalannya, adakah menjadi satu keperluan untuk kita memiliki 32 juta meter persegi ruang runcit bagi menampung permintaan penduduk Malaysia berjumlah 30 juta orang? Ini bukan sahaja membawa kepada kehilangan tanah yang berharga dan boleh digunakan untuk projek perumahan awam tetapi juga telah meningkatkan harga rumah.

Dalam isu berkaitan dasar perumahan awam ini kita seharusnya belajar daripada Lembaga Pembangunan dan Perumahan Singapura (HDB) atas kejayaan institusi itu membina rumah pangsa untuk lebih 80 peratus penduduknya sejak 1947.

HDB yang dahulunya dikenali dengan nama Singapore Improvement Trust telah berjaya membina 20,907 unit rumah pangsa awam antara 1947 hingga 1959. Jumlah tersebut telah memberi manfaat kepada 1.6 juta penduduknya sebelum HDB mengambil alih pada 1960.

Dalam tempoh tiga tahun selepas mengambil alih, HDB berjaya membina 31,317 unit rumah pangsa awam untuk penduduk di republik itu. Jika Singapura yang menghadapi kekurangan tanah boleh melakukannya, mengapa tidak Malaysia?

Oleh itu, CAP berpandangan cara paling berkesan untuk menyelesaikan masalah ini (bagi menampung permintaan rakyat) adalah keperluan Kerajaan Persekutuan mengambil alih projek pembinaan perumahan awam seperti yang pernah dilakukan pada era 1960-an. Itu jugalah kunci kejayaan penyediaan perumahan awam di Singapura melalui pembabitan HDB.

Kejayaan projek Rumah Pangsa Padang Tembak adalah contoh terbaik dalam usaha kerajaan menyediakan perumahan awam khususnya bagi golongan berpendapatan rendah. Bagaimanapun, usaha cemerlang ini hilang begitu sahaja apabila skim perumahan awam dibiarkan kepada pemaju persendirian dan institusi pinjaman komersial seperti yang dialami oleh kita sekarang.

Kita juga boleh mempelajari bagaimana Arcade Ikonik di wilayah Rhode Island, Amerika Syarikat dipulihkan semula dengan mengubah deretan kedai di tingkat dua kepada 225 kaki persegi bilik kecil untuk didiami melalui konsep penyewaan manakala kedai di tingkat bawah terus dikekalkan.

CAP berpandangan Malaysia juga boleh mengambil langkah yang sama dengan memulihkan semula kompleks beli-belah bermasalah untuk dijadikan sebagai projek perumahan awam. Yang penting, Malaysia memerlukan kemahuan politik dan perancangan yang baik untuk keluar daripada kancah permasalahan ini.

S.M MOHAMED IDRIS

Presiden CAP