Ini suatu gerakan yang harus dipuji oleh rakyat Malaysia. Saya juga bersetuju dengan penyiasatan yang dilakukan terhadap IMDB tetapi rakyat Malaysia tidak boleh menghukum seseorang sehingga dia benar-benar terbukti bersalah.

Sebagai rakyat Malaysia di bawah kerajaan Pakatan Harapan, saya masih tertanya-tertanya mengapa seorang menteri yang terpalit dengan rasuah dan masih dalam perbicaraan boleh pula ‘mohon batalkan pendakwaan rasuah’ seperti mana yang diperkatakan oleh pembaca ruangan Forum Utusan Malaysia, Warga Prihatin dan Bakal Pengundi baru-baru ini.

Adakah semata-semata menjadi seorang menteri yang sangat penting dalam Kabinet beliau boleh menjadi suci dan bebas daripada sebarang pendakwaan?

Saya dan rakyat Malaysia ingin penjelasan daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad bagaimana perkara ini boleh berlaku seolah-olah kita ini mempermainkan undang-undang sendiri.

Kalau dahulu kes yang sama dihadapi oleh bekas Menteri Besar Selangor, beliau rela hati meletakkan jawatan dan telah pun menjalani hukuman. Kalau di negara lain saya merasakan tentunya demontrasi jalananan telah diadakan seperti mana gerakan Bersih buat sebelum ini.

Tetapi rakyat Malaysia kini berfikiran matang, mereka tidak akan melakukan perkara yang sia-sia sebegitu rupa.

Seperti disebut Bakal Pengundi, “Rakyat faham tidak semuanya suci dalam politik tetapi janganlah benda yang begitu jelas dan nyata salah mahu dilepaskan begitu sahaja. Jika begitu apa bezanya dengan apa yang kamu dakwa terhadap kerajaan terdahulu?”

Kami tidak kisah siapapun yang menjadi menteri Kabinet tapi biarlah benar-benar bersih. Saya juga merasakan tentunya suara rakyat seperti saya 99.9999 peratus mesti tidak akan dipedulikan tetapi sebagai pendukung Rule of Law, Dr. Mahathir haruslah memberi perhatian terhadap pandangan kami ini.

 

WARGA BERSIH

Terengganu