Setelah mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Kabinet pada 23 November lalu telah menaikkan had potongan gaji secara automatik dari RM1,000 kepada RM2,000 sebulan.

Walaupun Kabinet telah mengambil langkah pembetulan, semua rakyat akhirnya sedar bahawa segala dasar kerajaan Pakatan Harapan termasuk yang terdapat dalam Belanjawan 2019 lebih menekan anak muda berbanding kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, kami anak muda konsisten menyatakan bahawa hutang wajib dibayar dan ia adalah tanggungjawab asas bagi setiap Muslim sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang satu dinar atau satu dirham, maka hutang tersebut akan dilunaskan dengan kebaikannya (di hari kiamat nanti) kerana di sana (di akhirat) tidak ada lagi dinar dan dirham.” (Riwayat Ibnu Majah)

Namun, kami ingin mengajak kerajaan untuk memahami bahawa Islam mempunyai konsep jelas, adil dan bertimbang rasa dalam isu pembayaran hutang. Ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).” (Surah al-Baqarah: ayat 280)

Allah SWT secara jelas telah memerintahkan kepada orang yang memberi hutang untuk memberikan masa kepada pihak yang berhutang sehingga mereka mampu untuk keluar daripada kesempitan hidup.

Sistem potongan gaji secara automatik terhadap graduan adalah sangat zalim dan menekan hidup anak muda Malaysia. Kerajaan sepatutnya memperkenalkan polisi ekonomi yang memperkasa ekonomi anak muda dan bukannya menekan hidup mereka.

Bank Negara Malaysia (BNM) telah merekodkan dalam Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2017 bahawa seorang dewasa bujang perlu memperoleh RM2,700 sebulan sebagai gaji minimum untuk menyewa bilik, makan di luar, memasak sekali-sekala dan menggunakan pengangkutan awam.

Menurut data kajian yang dilakukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada 2016, sebanyak 89.1 peratus daripada graduan diploma yang bekerja mempunyai pendapatan sebanyak RM2,000 dan ke bawah sebulan dan sebanyak 48 peratus graduan ijazah pertama mempunyai pendapatan RM2,000 dan ke bawah.

Berdasarkan fakta di atas, jelas sekali hampir keseluruhan graduan bertaraf diploma dan hampir separuh graduan ijazah tahap pertama hidup di bawah paras gaji minimum seperti ditetapkan oleh BNM. Kami anak muda menyeru kepada kerajaan agar tidak bertindak seperti ah long yang mengutip hutang secara paksa kerana ia adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan prinsip Islam.

MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD. ZAI

Presiden Gamis