Ada pelajar meraih keputusan cemerlang dan ada juga yang tidak mencapai sasaran masing-masing.

Sebahagian pelajar meneruskan pelajaran ke peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sementara selebihnya mengisi borang Unit Pusat Universiti (UPU) untuk menyambung pelajaran ke peringkat universiti mahupun kolej.

Seramai 434,535 calon menduduki peperiksaan SPM 2016 dan kebiasaannya hanya puluhan ribu sahaja yang layak mendaftarkan diri ke universiti awam dan selebihnya akan ke institusi swasta.

Susulan itu, ramai beranggapan bahawa masa depan mereka sudah gelap jika tidak diterima masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi.

Saya menyarankan pemohon UPU janganlah berharap sepenuhnya kepada keputusan UPU sahaja. Mereka perlu mempunyai pelan sokongan dan mencari peluang lain jika masih mahu menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Pemohon UPU juga perlu ingat bahawa pelajaran bukan sahaja terhad kepada akademik bahkan meliputi bidang-bidang kemahiran dan sukan.

Tarikh tutup permohonan UPU telah tamat pada 5 April lalu dan kini ramai menunggu keputusan permohonan pada 14 Mei ini.

Oleh itu, teruskan berusaha dan jangan berputus asa untuk mencari peluang menyambung pelajaran di peringkat seterusnya dan janganlah jadikan kegagalan dalam permohonan UPU sebagai penanda aras yang menentukan masa depan anda dalam pembelajaran.

KHAIRUL NAZRI KAMARUDIN

Negeri Sembilan