LONJAKAN kadar hutang isi rumah dilaporkan sentiasa meningkat saban tahun dan isu tersebut tidak boleh dipandang remeh.

Perkara itu juga tidak boleh sekadar dijadikan bahan untuk berbicara sama ada di kedai kopi mahupun di peringkat Parlimen.

Sebaliknya isu berkenaan memerlukan satu kaedah terbaik untuk menanganinya.

Malah pihak berkaitan seperti Bank Negara Malaysia (BNM) pernah melancarkan kempen-kempen tertentu untuk memberi pendidikan kepada rakyat agar sentiasa menguruskan hutang isi rumah dengan baik.

Untuk tujuan yang sama BNM juga telah menubuhkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dalam usaha memberikan khidmat kaunseling dan panduan kepada rakyat tentang pengurusan kewangan bijak sama ada dari segi bajet, pengurusan wang mahupun penggunaan kredit.

AKPK juga berperanan menyediakan bahan pendidikan kewangan merangkumi penggunaan kredit yang bijak dan asas pengurusan wang selain menghasilkan satu pelan pembayaran hutang khas untuk menangani masalah kewangan melalui rundingan dengan institusi kewangan.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga tidak terkecuali melakukan usaha serupa seperti Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA). Persatuan pengguna itu pernah melaksanakan Bulan Kewangan Berhemat saban tahun, namun usaha ini dilihat masih di bawah peratus kejayaan. Di mana silapnya?

Sebelum menyalahkan pihak tertentu terhadap isu ekonomi ini alangkah baiknya kita menilai diri sebagai individu.

Pihak berkepentingan dalam perniagaan sememangnya menjalankan promosi tertentu untuk melariskan aktiviti jualan mereka.

Ini ditambahkan lagi dengan gaya hidup berteknologi yang kemudian telah mendorong rakyat berbelanja lebih berbanding keperluan terutama generasi muda. Mereka sanggup berbelanja besar untuk membeli gajet terkini.

Benarlah seperti kata orang tua-tua biar papa asal bergaya. Keadaan inilah yang akhirnya menjadikan kita papa kedana di kemudian hari. Lebih malang lagi jika perbelanjaan itu dilakukan secara berhutang.

Kempen-kempen yang menggalakkan hidup berjimat cermat serta menabung hanyalah sekadar nyanyian yang kurang sedap didengar. Oleh itu sudah sampai masanya rakyat Malaysia berubah menjadi individu yang bijak menguruskan sistem kewangan diri sendiri dan keluarga.

Mulakan dari sekarang dan jika tidak mampu hubungilah pihak berkaitan seperti AKPK untuk mendapatkan bantuan. Jangan lupa membuat tabungan kerana amalan ini mampu menolong kita di saat-saat memerlukan.

MOHD. FIRDAUS ZOLKARNAIN

Pengarah Operasi Maximus Sdn. Bhd.