Bagi kebanyakan mahasiswa sebagai contoh pelajar perakaunan, apabila masuk ke alam pekerjaan kerja mereka hanya berkaitan dengan membuat akaun sahaja. Tidak ada kena mengena dengan bidang kokurikulum. Ini adalah tanggapan yang salah.

Sebenarnya terlalu banyak manfaat yang diperoleh hasil penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kokurikulum antaranya boleh mengasah bakat kepimpinan selain mengetahui selok belok untuk mengadakan mesyuarat.

Sebagai orang penting kelab atau persatuan sudah tentu mereka bertanggungjawab mengadakan mesyuarat tertentu khususnya bagi menjayakan satu-satu projek. Justeru mereka yang tidak biasa dengan kerja-kerja sebegini sudah tentu akan berasa kekok untuk mengadakan satu mesyuarat lebih-lebih lagi dilantik sebagai setiausaha mesyuarat sekiranya diarahkan oleh ketua jabatan di tempat kerja.

Seorang rakan saya pernah diarahkan untuk menjadi setiausaha mesyuarat pengurus-pengurus jabatan pada hari pertama dia bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat besar. Bayangkan jika dia langsung tidak tahu apa-apa tentang mesyuarat, apa yang akan berlaku? Sudah pasti dia tidak tahu untuk mencatat minit mesyuarat kerana perkara tersebut tidak pernah diajar dalam bilik kuliah.

Seperkara lagi penglibatan dalam aktiviti kokurikulum akan melazimkan mahasiswa dengan organisasi dan antara perkara sukar bagi mereka yang mula-mula bekerja sebagai eksekutif adalah cara mana untuk menguruskan pekerja bawahan terutama dalam memberi arahan dengan baik.

Namun mahasiswa yang biasa berorganisasi semasa di kampus sedikit sebanyak mempunyai kemahiran dalam berkomunikasi dan tahu kaedah memberi arahan kepada orang bawahan dengan betul dan selesa.

Hakikatnya, graduan yang aktif dalam bidang kokurikulum ketika di universiti mempunyai pelbagai kelebihan yang akhirnya memberi faedah kepada mereka terutama dalam perkembangan kerjaya pada masa hadapan.

Memang benar beberapa perkara seperti teknik menulis surat rasmi, mengendalikan mesyuarat dan beberapa perkara lagi ada diajar dalam subjek Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu tetapi itu hanyalah dalam bentuk teori.

Sedangkan kepimpinan dan teknik pengurusan organisasi di tempat kerja memerlukan situasi sebenar iaitu mengkehendaki mahasiswa menjalaninya secara praktikal. Bukan sekadar menjawab soalan di kertas jawapan peperiksaan.

Saya sendiri pernah aktif semasa menjadi mahasiswa dengan melibatkan diri sebagai pimpinan persatuan sehinggalah dipilih menjadi Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) selepas menang pilihan raya kampus.

Hasilnya segala ilmu dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang aktif dalam bidang kokurikulum itu banyak membantu saya ketika bertugas sebagai pensyarah dahulu.

Kepada mahasiswa yang awal-awal lagi memilih untuk tidak aktif dalam kokurikulum kerana bimbang akan menjejaskan pelajaran diharap mereka dapat mempertimbangkan semula keputusan itu. Sebaik-baiknya libatkan diri dalam kokurikulum. Carilah minat yang sesuai.

Paling penting, mahasiswa perlu tahu tentang kemampuan diri masing-masing. Andai kata saya sebagai majikan, saya cenderung memilih graduan yang mendapat CGPA 3.0 tetapi aktif dalam kokurikulum berbanding graduan yang mendapat CGPA 4.0 tetapi langsung tidak aktif dalam kokurikulum. Ini kerana graduan yang pernah aktif semasa di kampus biasanya lebih cemerlang dalam pekerjaan serta mempunyai kualiti kepimpinan yang tinggi.

NASSRUL HAKIM MD. JANI

Bukit Baru, Melaka