Gesaan ini tidaklah mengejutkan malah boleh dijangka dibangkitkan oleh kumpulan seperti Hindraf yang sememangnya arif akan perihal isu menjentik sensitiviti dan emosi kaum bumiputera khususnya orang Melayu serta peruntukan Perlembagaan yang sah mengenai keistimewaan kaum bumiputera, namun kekal istiqamah membangkitkannya.

Tidak dinafikan, PRU-14 telah membuka ruang perbincangan yang cukup luas dalam memahami perubahan dan pola pemikiran masyarakat Malaysia yang beraspirasi melihat satu anjakan bermakna dalam sistem dan tadbir urus kerajaan. Ini dapat dilihat dalam beberapa tindakan dan keputusan kerajaan yang bersifat di luar kelaziman berbanding enam dekad pentadbiran sebelumnya.

Namun, keghairahan atau euforia untuk melihat perubahan bermakna ini, ia tidak seharusnya diambil sebagai satu kesempatan oleh pihak tertentu sebagai landasan untuk melunaskan agenda yang boleh ditafsir sebagai provokatif.

Dalam hal berkaitan UiTM ini, Pimpin memohon agar kerajaan terus bertegas agar perkara ini tidak disentuh sebagai mana diperuntukkan oleh Perlembagaan yang memberi hak istimewa kepada kaum bumiputera.

Pastinya juga, lebih 700,000 alumni UiTM serta lebih 60 peratus kaum bumiputera di negara ini akan merasa kurang senang jika permintaan yang bersifat ‘tidak mempedulikan kepentingan majoriti’ ini diberi keutamaan oleh pihak kerajaan

Dalam masa sama, Pimpin menyeru agar kerajaan juga dapat melihat kaedah lain yang boleh membantu meningkatkan taraf sosioekonomi kaum India melalui strategi yang lebih berimpak tinggi, di luar kerangka hak dan keistimewaan kaum bumiputera.

Pimpin percaya kerajaan akan membuat keputusan cukup bijak dan tidak terbawa-bawa dengan sentimen euforia ini hingga mengetepikan keadilan dan kesaksamaan Perlembagaan sebagai panduan tertinggi yang ternyata telah menyatukan seluruh rakyat Malaysia dan juga memelihara hak-hak sah setiap warganya.

Pimpin juga memohon agar kerajaan kekal meyakinkan rakyat teramai bahawa agenda berkaitan bumiputera dan Islam khususnya kekal menjadi keutamaan tanpa kompromi.

Bahkan, lebih daripada itu, sebagai manifestasi seorang warganegara yang baik, setiap seorang rakyat sewajarnya tanpa sebarang prasangka, kekal memastikan Perlembagaan negara dijunjung tinggi pada tempatnya.

PERSATUAN ALUMNI MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UITM MALAYSIA(PIMPIN)