Kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada bulan Mei yang lalu membuktikan kekuatan suara rakyat yang ingin menyaksikan perubahan lebih baik dalam pentadbiran negara.

* Sebagai persatuan alumni yang telah berusia lebih daripada 40 tahun dan mempunyai rangkaian ahli yang luas dalam pelbagai bidang, pihak PAPTI bersedia untuk ikut terlibat sama dan menyumbangkan khidmat bakti demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

* Dalam mesyuarat ahli jawatankuasa, PAPTI sebulat suara memberikan sokongan penuh kepada segala usaha untuk menyatu padukan rakyat negara ini yang berbilang kaum berlandaskan prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan.

Dalam hal ini, sejarah tanah air termasuklah soal agama Islam dan institusi raja-raja Melayu perlu dihormati oleh semua pihak.

Sebarang usaha untuk memutarbelitkan fakta dan mengganggu-gugat asas negara ini perlu dihentikan lebih-lebih lagi ada pihak yang nakal cuba mewujudkan sangkaan baik terhadap musuh negara iaitu ideologi komunisme.

* Dalam bidang pendidikan, PAPTI bersama-sama dengan hasrat Menteri, Dr. Maszlee Malik yang memberikan fokus kepada usaha penambahbaikan mutu baik dalam kalangan warga pendidik dan pelajar yang merupakan output dari sekolah, kolej dan universiti. Oleh itu, sebarang permintaan kontroversi oleh pihak tertentu tidak wajar mengalihkan fokus kementerian apatah lagi permintaan tersebut bercanggah dengan semangat kebangsaan seperti UEC.

Kerajaan wajar mengambil contoh yang baik dari negara jiran seperti Indonesia dalam membentuk ideologi dan perpaduan rakyatnya berasaskan Pancasila.

* Pada akhirnya, cabaran yang dihadapi oleh pentadbiran yang baharu semakin hebat terutama dalam bidang sosioekonomi. Maka, PAPTI berdoa agar Dr. Mahathir berserta Jemaah Menteri dapat menggalas tanggungjawab dengan baik dalam membela kepentingan rakyat Malaysia. Sekian, terima kasih.

Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia