Pada awalnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad membatalkan projek tersebut atas alasan bahawa projek itu tidak mendatangkan manfaat kepada Malaysia serta mengambil kira implikasi kewangan negara.

Keputusan Putrajaya juga disokong oleh Datuk Osman Sapian, Menteri Besar Johor yang menyokong agar projek HSR dibatalkan. Datuk Khaled Nordin antara pemimpin yang lantang bersuara tentang sikap tidak bertanggungjawab Kerajaan Negeri Johor tidak menjelaskan mengapa HSR dibatalkan.

Tambahan pula, kajian dan perincian manfaat projek ini dilakukan ketika beliau menjadi Menteri Besar Johor.

Antara alasan Osman, pembatalan HSR adalah wajar kerana projek tersebut tidak memberikan manfaat kepada ekonomi dan pembangunan di negeri Johor serta merugikan secara keseluruhannya.

Terbaharu, pendirian Malaysia terhadap projek HSR berubah kepada tidak dibatalkan tetapi ‘ditangguhkan’ sahaja. Ia diumumkan oleh Dr. Mahathir ketika temu ramah dengan Nikkei Asian Review sewaktu rangka lawatan kerja beliau di Jepun.

Kini timbul persoalan yang cukup besar. Adakah Menteri Besar Johor yang baharu ini tidak membuat kajian sewaktu menyokong keputusan pembatalan HSR tempoh hari? Adakah beliau membuta tuli dalam membuat kenyataan semata-mata mahu menjawab kenyataan Khaled?

Jika benar HSR tidak dibatalkan, maka karangan panjang Osman yang menyokong pembatalan HSR dan mengecam perancangan kerajaan terdahulu adalah sudah tidak relevan dan menafikan kebenaran semata-mata.

Ketika Khaled konsisten memberikan hujah secara ilmiah dan fakta kewajaran HSR diteruskan, jawapan balas Osman pula tidak menggambarkan beliau bersedia dan faham tentang projek HSR.

Sebagai rakyat Johor, kami gembira apabila akhirnya Dr. Mahathir senada dengan kenyataan Khaled bahawa kereta api laju seperti HSR adalah satu keperluan untuk negara dan wajar diteruskan.

Apa pula pendirian Osman? Mahu mengakui bahawa HSR sebagai game changer yang perlu diteruskan atau kekal untuk terus membatalkan projek HSR? Ia jelas menggambarkan Menteri Besar Johor yang baharu ini lebih kepada ‘pak turut’ dan tidak mempunyai asas pengetahuan dalam sesuatu perkara.

Walau bagaimanapun, apa yang lebih meyakinkan rakyat Johor ialah pembangkang Johor mengambil langkah kerja yang cukup efektif sebagai check and balance kepada kerajaan. Hasilnya, HSR diakui bermanfaat untuk negara dan tidak akan dibatalkan.

FIKRI ALLAUDIN

Persatuan Pemikir Muda Johor