KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan bertanggungjawab untuk memastikan produk makanan di pasaran tempatan dan diimport mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah pun menetapkan satu kadar maksimum untuk sisa racun perosak (maximum residue limits-MRLs) bagi komoditi makanan termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan.

Hasil pemantauan KKM dari tahun 2017 sehingga Jun 2018, sebanyak 5,144 sampel sayur-sayuran dan buah-buahan telah diambil di pasaran tempatan dan di pintu masuk negara (bagi yang diimport) untuk dianalisis.

Hasil analisis mendapati hanya 97 sampel (1.9 peratus) dikesan mengandungi sisa racun perosak melebihi kadar maksimum yang dibenarkan.

Daripada 526 sampel cili segar yang diuji dalam tempoh sama, hanya sembilan sampel (1.7 peratus) tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan tindakan penguatkuasaan telah dijalankan.

Seksyen 13, Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana orang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

KKM akan meningkatkan pemantauan ke atas sayur-sayuran termasuk cili dan buah-buahan import di pintu masuk negara dan di pasaran tempatan bagi memastikan pematuhan ke atas Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan danKualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia