Adalah tidak praktikal mewajibkan mereka mendapat restu mana-mana isteri dan ditambahkan kesulitannya lagi apabila lelaki yang hendak mempraktikkan poligami menunjukkan slip gaji atau membuktikan dia mempunyai pendapatan yang melayakkannya untuk menambah isteri.

Rasanya tidak adil seolah-olah cuba atau menyukarkan lelaki untuk bernikah lagi sedangkan mengikut ajaran al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, tiada dikena syarat sebegitu ketat.

Apa untung atau rugi jika perkara yang dianggap seolah-olah membina sebuah masjid itu disukarkan syarat sedangkan niat suci lelaki yang hendak berpoligami itu adalah untuk mengelakkan daripada perbuatan terlarang seperti zina.

Apatah lagi jika lelaki terbabit seorang yang bertanggungjawab serta mengikut syarak yang dibenarkan oleh agama.

Lagipun ia tidak secara langsung dapat membantu kaum hawa itu sendiri.

Berikutan diperketatkan segala syarat untuk berpoligami, ramai dalam kalangan suami yang kepingin untuk bernikah lagi terpaksa menyeberangi sempadan Thailand dan bernikah di sana.

Selepas itu dikenakan denda sebanyak RM1,000 sebagai syarat untuk mendapat sijil kahwin yang sah daripada Mahkamah Syariah negeri padahal nikah itu sah dan mengikut syarak.

Adalah diharapkan peraturan-peraturan nikah dan cerai diseragamkan di semua negeri dan diberikan kuasa penuh kepada pihak jabatan agama Persekutuan untuk mentadbirkan supaya nampak lebih kemas, mengikut peraturan dan diseragamkan segala undang-undang sebagaimana disarankan oleh agama.

Apabila bersabit dengan agama, kita bukan sahaja bertanggungjawab di atas dunia tetapi kesannya nanti akan dipersoal di akhirat satu persatu dan semuanya nanti akan terlibat sama di sana kelak.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN

Ampangan