Susulan pengumuman kerajaan telah meluluskan peruntukan untuk projek itu, kedua-dua pemimpin terbabit harus tampil memberi penjelasan mengenai pendirian mereka sebelum ini.

Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof dilaporkan berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan untuk penyelidikan dan pembangunan projek kereta nasional ketiga dan jumlah peruntukan bakal diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri.

Selepas menguasai kerajaan Pusat, Pakatan Harapan telah menagih simpati rakyat dengan alasan kerajaan tiada dana mencukupi. Mereka juga melancarkan Tabung Harapan Malaysia untuk menaikkan semangat rakyat supaya menyumbang kepada negara.

Akan tetapi, kerajaan telah memungkiri janji untuk tidak menggunakan wang hasil cukai daripada rakyat bagi projek kereta nasional ketiga. Ini juga menimbulkan keraguan mengenai dakwaan bahawa kerajaan kehabisan dana. Mohd. Redzuan juga memberi bayangan bahawa peruntukan yang bakal diberi kerajaan agak besar jumlahnya. Akhirnya, rakyat yang terpaksa menanggung projek ini.

Walaupun orang ramai telah menyatakan bantahan terhadap projek itu, kerajaan tidak mengendahkan kehendak rakyat semata-mata untuk melaksanakan agenda peribadi individu tertentu. Jika pemimpin parti komponen Pakatan Harapan tidak berani menentang kehendak Perdana Menteri dan gagal menepati janji dalam manifesto pilihan raya, apa gunanya mereka dilantik menyertai Jemaah Menteri?

Demi melaksanakan projek kereta nasional ketiga itu, tidak mustahil kerajaan akan bertindak memotong dana projek awam lain yang lebih bermanfaat kepada rakyat.

NICOLE WONG SIAW TING

Ketua Pemuda MCA