Sebagai cucu kepada perajurit yang gugur di tangan komunis, saya sangat memahami kekecewaan dan kemarahan Sarjan Pencen dalam aduannya ke ruangan FORUM Utusan Malaysia pada 24 April lalu.

Laporan berita Malaysiakini itu menunjukkan seolah-olah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama boleh dikenali sebagai pusat ‘kebangkitan semula’ PKM selepas ini jika Jamaliah menang.

Calon itu tidak menjadi isunya, laporan berita yang memberi gambaran ‘positif’ kepada seseorang yang digelar ‘tokoh dan wirawati’ komunis itu melampaui batas.

Di mana pula suara persatuan bekas polis, bekas tentera mahupun mana-mana wakil anggota keselamatan dalam isu ini?

Dahulu ada ahli politik terlebih cerdik mengangkat anggota komunis sebagai ‘hero’ kerana membunuh ramai anggota polis dan ahli keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong.

Berkali-kali usaha mengangkat gerakan PKM sebagai ‘pejuang’ dibuat sejak beberapa tahun lalu khususnya dalam kalangan ahli politik bukan Melayu dan pengendali portal berita, blog mahupun media sosial.

Sampai bila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahu membiarkan perbuatan sebegini tanpa tindakan? Cukupkah sekadar meminta maaf dan memadam tulisan mereka untuk merawat luka yang kembali berdarah ini?

CUCU POLIS

Muar, Johor