Keputusan ini benar-benar memberi impak besar kepada pemain industri bumiputera malah ia dilihat sangat terburu-buru. Apatah lagi kenyataan ini dikeluarkan pada Mac, jadi ini bermakna secara senyap-senyap kerajaan negeri sudah pun membuat potongan kuota tanpa pengetahuan semua pihak.

Persoalannya, kenapa perlu kuota lot bumiputera yang ingin dirobek? Sedar atau tidak, lot bumiputera diwujudkan bagi menjaga pemilikan hartanah untuk membentuk semula pola kependudukan rakyat Malaysia selepas 13 Mei 1969 yang digelar sebagai proses rekayasa sosial.

Tetapi jika kita lihat selepas Johor jatuh ke tangan kerajaan Pakatan Harapan, sedikit demi sedikit hartanah dan peluang perniagaan bumiputera terhakis dan akhirnya bakal berpindah tangan.

Alasan yang diberikan oleh kerajaan negeri adalah hanya kerana lot industri bumiputera tidak terjual. Kerajaan negeri sepatutnya perlu memikirkan cara bagaimana untuk mengatasi masalah ini berbanding membuat keputusan memotong kuota tersebut. Setidak-tidaknya kerajaan negeri boleh mencari inisiatif tertentu untuk membantu pemain industri bumiputera membeli lot tersebut seperti memberikan diskaun atau apa sahaja cara yang boleh membantu mereka.

Jangan dek kerana golongan bumiputera tidak mampu untuk membelinya, kerajaan negeri sesuka hati mengurangkan kuota lot industri bumiputera. Jika beginilah, agak-agaknya bagaimana nasib pemain industri bumiputera pada masa akan datang? Jadi, sebelum perkara ini semakin parah dan hak bumiputera terus ditekan, ada baiknya pemain-pemain industri bumiputera bertindak sewajarnya untuk menuntut kembali kuota 10 peratus itu.

DHIA HANI

Persatuan Pemikir Muda Johor