Dalam video itu, antara alasan yang diberi peniaga mahupun pembeli adalah mereka tidak tahu bahawa ikan hiasan itu terlarang.

Saya berharap serbuan serupa dibuat di semua premis menjual haiwan peliharaan khususnya di Ampang dan Gombak di Selangor serta Muar dan Johor Bahru di Johor yang banyak dikesan menjual ikan hiasan dan udang terlarang.

Sekalipun tidak dikenakan tindakan undang-undang, Jabatan Perikanan boleh mengambil peluang serbuan ini untuk meningkatkan kesedaran peniaga dan pembeli di samping merampas haiwan tersebut bagi mengelakkan terlepas ke ekosistem tempatan.

Lihat sahaja di laman Facebook pemancing yang banyak berkongsi tangkapan ikan terlarang seperti Peacock Bass dan udang Red Claw.

Bukan sahaja membanjiri parit, kolam dan sungai kita, spesies asing ini juga membunuh spesies tempatan sehinggakan sepat dan puyu pun sudah semakin hilang.

Jabatan Perikanan juga perlu mendidik golongan kaki pancing supaya jangan melepas kembali spesies asing yang ditangkap sama ada jual di pasar atau bawa pulang untuk dimasak.

Ambil perhatian juga kepada aktiviti keagamaan melepaskan keli Afrika mahupun spesies asing lain ke dalam sungai-sungai utama khususnya di Pahang, Sabah dan Sarawak yang didakwa sudah teruk menjejaskan populasi ikan tempatan dan udang galah.

Cara terbaik untuk mengatasi masalah ini adalah tingkatkan kesedaran umum seterusnya mengambil tindakan tegas terhadap peniaga dan pengimport yang masih berdegil.

KAKI PANCING

Ampang, Selangor