Pengesahan itu dibuat oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah pada 10 Julai lalu yang menafikan kematian murid Madrasah Tahfiz Al-Jauhar, Kota Tinggi, Johor, berpunca daripada trauma atau kecederaan akibat dipukul seperti yang tular dalam media sosial.

Siasatan dilakukan oleh sebuah jawatankuasa khas dianggotai pakar perunding forensik yang mahir dan berpengalaman luas dalam pengendalian kes-kes rumit dengan kerjasama pakar-pakar Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Jabatan Kimia.

Mohamad Thaqif Amin meninggal dunia selepas seminggu dimasukkan ke hospital untuk dirawat setelah kakinya cedera dipercayai dipukul oleh pembantu warden di sekolah tahfiz tempatnya belajar.

Selepas kedua-dua belah ka­kinya dipotong, tangan kanan Mohamad Thaqif Amin pula di­jangkiti kuman akibat darah beku dan dijadualkan turut dipotong, namun pembedahan terpaksa ditangguhkan kerana jantungnya dilapor tidak stabil.

Bagi saya langkah menyiasat sebab kematian murid itu sahaja tidak memadai jika punca yang menyebabkan jangkitan itu tidak dikenal pasti.

Jangkitan kencing tikus adalah amat berbahaya dan telah meragut banyak nyawa orang awam di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini khususnya dalam kalangan mereka yang berkelah di taman-taman rekreasi yang mempunyai tasik, air terjun dan sungai.

Penyakit berjangkit itu adalah disebabkan oleh bakteria leptospira yang disebarkan daripada haiwan kepada manusia. Kes ini berlaku di seluruh dunia tetapi lebih banyak di negara-negara beriklim tropika.

Pada awalnya, bakteria itu dikenal pasti datangnya daripada tikus. Namun kini, banyak jenis haiwan lain boleh menjadi perumah bakteria berkenaan, sama ada liar atau peliharaan.

Manusia boleh dijangkiti melalui sentuhan dengan tanah, air atau makanan yang telah dicemari oleh najis atau air kencing haiwan dijangkiti.

Antara simptom jangkitan termasuklah demam panas, sakit kepala teruk, menggigil, sakit otot, muntah dan mengalami kekuningan pada kulit dan mata.

Tanda-tanda lain adalah mata merah, sakit perut, cirit-birit dan ruam. Jika tiada rawatan awal diberikan, pesakit boleh mengalami kerosakan buah pinggang, keradangan pada selaput otak dan saraf tunjang, kegagalan hati, sesak nafas serta pendarahan paru-paru.

Berikutan bahaya jangkitan berkenaan, adalah penting pihak berwajib segera mengenal pasti punca jangkitan yang menimpa Allahyarham supaya dapat dibendung daripada terus menjangkiti orang lain.

Tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai sehingga menyebabkan jangkitan itu.

Langkah itu boleh dibuat dengan menguatkuasakan sepenuhnya Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan akta-akta yang berkaitan.

Pada masa sama, usaha berterusan mesti dilakukan oleh pihak berkuasa bagi mendidik orang ramai mengenai bahaya penyakit itu.

Rakyat perlu diberi penerangan mengenai langkah-langkah yang boleh diambil bagi melindungi diri mereka daripada jangkitan berkenaan.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)