Ini adalah susulan tindakan Presiden AS, Donald Trump yang mengisytiharkan secara satu pihak terhadap status bandar raya Baitulmuqaddis awal Disember lalu sebagai ibu kota baharu Israel.

Bukan itu sahaja, Trump juga telah menggunakan taktik buli dan mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap negara yang memberi undi menentang keputusannya terhadap isu berkenaan pada persidangan luar biasa Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.

Sekiranya cadangan itu diterima, hal itu menjadikannya sebagai sekatan embargo minyak kali kedua bakal dilaksanakan terhadap AS selepas berjaya dilaksanakan pada 1973. Pada masa itu, sekatan embargo minyak pertama telah dikenakan terhadap AS kerana menyokong Israel yang berperang dengan Mesir dan Syria.

Sekatan embargo minyak yang dilaksanakan telah menyebabkan AS menghadapi krisis minyak di dalam negara, menjejaskan ekonomi negaranya serta menggugat kedudukan negara AS di mata dunia bertahun-tahun lamanya.

Namun begitu, kita harus menerima hakikat sejak sekatan embargo pertama dilakukan, AS telah banyak mengambil langkah bagi mengurangkan kebergantungan mereka terhadap minyak import khususnya dari negara-negara Asia Barat.

AS juga telah meningkatkan industri minyaknya sendiri serta membangunkan teknologi yang tidak bergantung sepenuhnya terhadap penggunaan minyak.

Walaupun begitu, AS secara hakikatnya masih perlu bergantung dengan hasil minyak dibawa dari luar untuk memenuhi permintaan dalamannya yang tidak pernah mencukupi.

Sekiranya sekatan embargo minyak kali kedua ingin dilakukan, ia perlu melibatkan bukan sahaja negara-negara dari Asia Barat malah perlu juga melibatkan negara pengeluar minyak dunia lain seperti Rusia dan Kanada yang sudah pasti tidak mempunyai banyak halangan untuk bersatu dengan negara-negara pengeluar minyak dari Barat dan lain-lain dalam menghadapi tindakan buli dan ugutan Trump di pentas antarabangsa.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia