HARGA ikan kembung kini boleh mencecah RM25 sekilogram berbanding
HARGA ikan kembung kini boleh mencecah RM25 sekilogram berbanding hanya RM2.50 pada 2005. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Sebab utama peningkatan harga ikan yang menjadi hidangan lumrah golongan berpendapatan rendah adalah kekurangan bekalan.

Monsun Timur Laut yang sedang melanda negara yang akan berlarutan sehingga April menyebabkan ramai nelayan bimbang ke laut untuk menangkap ikan berikutan angin kencang dan ribut.

Faktor lain yang dijadikan alasan untuk menaikkan harga ikan kembung adalah peningkatan kos pengangkutan akibat kenaikan harga minyak.

Harga biasa ikan itu di pasaran sebelum ini adalah antara RM12 sehingga RM18 sekilogram. Saya masih ingat ketika berkunjung ke Pasar Besar Alor Setar pada 2005, harga sekilogram ikan kembung hanya RM2.50. Sebab itu, ikan jenis berkenaan menjadi pilihan utama golongan berpendapatan rendah.

Sebenarnya bukan ikan kembung sahaja yang naik harga, malah kebanyakan harga barangan telah meningkat. Fenomena itu bukan lagi satu ilusi.

Bagi golongan berpendapatan rendah yang gaji bulanan hanya cukup-cukup untuk makan, kenaikan itu sudah pasti membebankan.

Hal ini berlaku disebabkan kuasa beli semakin berkurangan kerana kenaikan gaji secara tahunan tidak dapat menampung peningkatan harga barangan yang lebih ‘laju’.

Tinjauan rambang saya mendapati harga barangan keperluan dapur semakin meningkat dalam lingkungan 30 hingga 50 peratus daripada harga sebelumnya.

Jika ada pun barangan lebih murah atau kekal pada harga biasa, sudah pasti akan terdapat kekurangan misalnya dari segi kualiti barangan yang dijual atau sudah hampir tarikh tamat tempoh.

Ada pihak menuduh terdapat kegiatan mengambil untung berleluasa dalam kalangan peniaga. Itu adalah alasan lumrah yang diberikan. Sebenarnya perkara itu bukan semuanya benar kerana ada dalam kalangan peniaga yang tiada pilihan dan terpaksa menaikkan harga barangan.

Peniaga yang tidak mahu berbuat demikian akan mengalami kerugian seperti pengakuan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin), Datuk Wira Ameer Ali Mydin, pada 6 Februari lalu, bahawa penurunan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) adalah faktor utama yang menyebabkan kerugian syarikat itu pada 2016.

Kebanyakan produk adalah diimport dan kelemahan ringgit berbanding dolar AS telah menyebabkan Mydin terpaksa membayar harga lebih tinggi bagi produk dipesan, tanpa menaikkan harga barangan.

Saya sendiri mempunyai seorang sahabat yang membuka restoran nasi campur yang memutuskan untuk menutup terus perniagaannya. Alasan yang diberikan cukup mudah kerana seekor udang biasa yang dibeli di Pasar Harian Selayang, Selangor, berharga RM1.

Jika pelanggan mengambil lima ekor udang sambal tumis petai sudah berharga RM5, itu belum dicampur kos sewa premis, gaji pekerja, petai, nasi, sayur dan bekas makanan diperbuat daripada plastik polipropilena (PP) sebagai ganti polistirena sebanyak 50 sen sekeping.

Sekiranya dia menjual sebungkus nasi bersama-sama lauk melebihi RM10, dia sudah tentu akan dituduh mencekik darah pelanggan.

Saya juga menerima aduan daripada rakan-rakan yang mengusahakan restoran nasi Arab yang mendakwa harga daging lembu, kerbau dan kambing naik sehingga 50 peratus kerana kebanyakan diimport dari luar negara.

Dalam pada itu, saya berharap pihak berkuasa agresif melakukan operasi bagi mengekang peniaga yang sengaja meletakkan harga terlampau tinggi dengan menjadikan kenaikan harga minyak dan kejatuhan nilai ringgit sebagai alasan.

Masih ada peniaga tamak yang sengaja berbuat demikian untuk mengaut untung lebih atas kesengsaraan orang lain.

Kes-kes yang saya sebut tadi adalah tulen, tetapi ada juga peniaga sengaja mengambil kesempatan. Peniaga seperti inilah yang perlu diburu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Oleh kerana bilangan anggota penguat kuasa yang terhad, pengguna perlulah memainkan peranan mereka dengan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan peniaga tamak.

Maklumat boleh dihantar secara e-mel ke [email protected] atau talian hotline 1-800-886-800 atau 03-88826088.

Terdapat juga nombor telefon bilik gerakan di setiap negeri yang boleh disemak menerusi laman web www.kpdnkk.gov.my.