Kempen tersebut bertujuan memupuk semangat kecintaan dan kebanggaan ke atas minyak sawit Malaysia dan menggalakkan rakyat menggunakan produk sawit dalam kehidupan harian mereka. Bagaimanapun, satu hakikat yang harus disedari adalah masyarakat tempatan hanya pasaran kecil dan tidak akan dapat membantu meningkatkan harga sawit secara ketara.

Lebih-lebih lagi apabila Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit dan produk berasaskan sawit yang kedua terbesar di dunia. Negara memiliki kapasiti tanah sebesar 5.85 juta hektar bagi tujuan penanaman kelapa sawit, maka kami bergantung berat kepada permintaan negara-negara lain untuk menyerapkan lebihan stok dan menstabilkan harga komoditi berkenaan.

Oleh itu, kempen Sayangi Sawitku jelasnya tidak praktikal, kecuali ia bertujuan menggalakkan rakyat untuk menggantikan air mandi dan minum dengan minyak sawit. Sekatan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) ke atas minyak sawit harus ditangani dengan betul dan kerajaan sepatutnya mencari negara pembeli lain, ataupun bertemu dengan pemimpin-pemimpin EU untuk menjelaskan fakta yang sebenarnya mengenai minyak sawit.

Hubungan Malaysia-China yang semakin renggang sejak pertukaran kerajaan baharu disebabkan pembatalan projek-projek di bawah inisiatif One Belt, One Road (OBOR) telah menyebabkan kerajaan China mengurangkan jumlah import minyak sawit dari Malaysia, sekali gus menyebabkan lebihan stok dan menjejaskan harga komoditi itu.

Peningkatan harga sawit bergantung besar kepada pasaran China, dan selagi China tidak menambahkan jumlah import sawit dari Malaysia, harganya akan tetap rendah. Oleh itu, kerajaan Pakatan Harapan disaran berhenti daripada memberi fokus terhadap pasaran EU sebaliknya beralih memberi tumpuan kepada China.

Demi menjaga kebajikan dan kepentingan peladang-peladang kelapa sawit dan untuk memulihkan semula permintaan minyak sawit, Dr. Mahathir digesa memperbaiki segera hubungan Malaysia dengan China dengan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya di sana.

Kerajaan juga digesa mengambil bahagian semula dalam inisiatif OBOR di samping berunding semula dengan China supaya mereka dapat meningkatkan pembelian minyak dan produk berasaskan sawit dari Malaysia.

QUEK TAI SEONG

Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan MCA Pahang