Walaupun Parlimen belum dibubarkan, sudah banyak kempen dan ceramah ‘haram’ diadakan tetapi lokasi dan pelaksanaannya boleh mengundang kemarahan rakyat.

Ada lokasi kempen dan ceramah ini tidak sesuai seperti di surau dan masjid, padang yang terlalu hampir dengan rumah atau berhampiran jalan raya utama sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Tidak kurang juga kempen sehingga lewat malam dan terlalu bising, terpekik-pekik ketika penduduk mahu tidur sedangkan esoknya mereka perlu bekerja atau ke sekolah.

Selagi pen tidak menyentuh kertas undi, pengundi masih boleh mengubah fikiran. Janganlah anggap semua penduduk di satu-satu kawasan itu penyokong tegar calon atau parti tertentu sedangkan majoritinya masih ‘atas pagar’.

Hormati privasi penduduk setempat khususnya jika berkempen berhampiran tempat tinggal mereka. Ini bukannya marah, sekadar nasihat! Dikhuatiri ‘pangkah’ yang dinanti, ‘titik’ yang diberi.

PENGUNDI HANTU
Gombak, Selangor