Dewan Pemuda Ikatan Malaysia berpendapat bahawa Kementerian Pendidikan tidak perlu membandingkan peruntukan khas ini dengan amalan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang pernah memberikan peruntukan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman. Ini kerana ia jelas menunjukkan sikap kebudak-budakan yang terus menjustifikasikan apa jua perkara yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan dengan amalan terdahulu kerajaan BN. Di manakah semangat Malaysia baharu yang dicanang pemimpin Pakatan Harapan?

Kami menggesa Kementerian Kewangan untuk bersikap telus dan memberikan penjelasan secepat mungkin kepada seluruh rakyat. Ini bukan isu perkauman, tetapi isu good governance. Bagaimanakah Kementerian Kewangan memberikan peruntukan khas pada saat rakyat dicanang bahawa kewangan kerajaan berada dalam keadaan tenat dek skandal 1MDB?

Kolej New Era merupakan sebuah kolej di bawah kelolaan Dong Jiao Zong yang merupakan suara kepada pendidikan Cina dan menjadi penggerak utama kesatuan pendidikan aliran bahasa Cina di Malaysia.

Kami berpandangan bahawa perpaduan kaum seharusnya bermula dari peringkat sekolah. Apabila diasingkan aliran-aliran sekolah terutama sekolah persendirian Cina, yang tidak mengguna pakai seratus peratus kurikulum di bawah Kementerian Pendidikan, maka anak-anak Malaysia akan berpecah-belah sejak di bangku sekolah. Dasar sebegini tidak akan menguatkan perpaduan antara kaum.

SHAHRIR ADNAN
Ketua Pemuda Ikatan Malaysia