Saya tidak kata jolokan Harimau Malaysia itu tidak hebat, cuma gelaran Harimau Malaya itu sudah cukup sinonim dengan skuad utama kebangsaan sejak sekian lama. Jadi apa perlunya kita menukar nama tersebut. Lagipun sepengetahuan saya spesis harimau yang menjadi jolokan skuad kebangsaan itu memang namanya Harimau Malaya dan bukannya Harimau Malaysia.

Oleh itu jangan ada selepas ini terdapat mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan keputusan tersebut kerana bagi saya tindakan dilakukan oleh Tunku Ismail itu adalah semata-mata mahu mengembalikan hak kepada pasukan senior bola sepak kebangsaan.

Mungkin orang akan bertanya, apa kaitannya gelaran atau nama jolokan dengan sesebuah pasukan? Jika ditanya, saya akan menjawab gelaran itu adalah sesuatu yang amat penting bagi sebuah pasukan. Ini kerana setiap gelaran itu mempunyai auranya tersendiri.

Cuba kita lihat beberapa pasukan bola sepak ternama dunia yang masing-masing mempunyai gelaran tertentu seperti Sepanyol-La Roja; Perancis-Les Bleus; England-The Three Lions; Italy-Azurri dan Brazil-Canarinho. Gelaran-gelaran itu boleh membuatkan satu-satu pasukan tersebut terkenal dan digeruni lawan.

Saya percaya apa yang dilakukan oleh Tunku Ismail itu bertujuan memartabatkan semula sukan bola sepak negara yang selama ini boleh disifatkan sebagai malap dan suram. Untuk makluman semua, berdasarkan semakan yang dibuat di laman web rasmi FIFA, Malaysia sekarang berada pada kedudukan 161 berbanding rakan-rakan pasukan Asia Tenggara yang lain seperti Filipina (124), Thailand (127) dan Vietnam (136).

Ketiga, saya mengharapkan semua pihak memberi masa dan ruang kepada Tunku Ismail melakukan satu transformasi besar-besaran terhadap FAM dan semua pasukan di bawah naungan badan induk bola sepak itu.

Tunku Ismail bukan seorang ahli silap mata yang boleh mengubah pasukan kebangsaan menjadi pasukan yang digeruni dalam masa sehari. Sudah tentu baginda perlukan masa, strategi, gerak kerja dan perancangan rapi dalam usaha membentuk satu pasukan kebangsaan yang mantap.

Berhubung dengan perkara itu juga, kelmarin dan semalam media telah melaporkan tindakan drastik FAM memecat 20 kakitangannya. Mereka terdiri daripada staf kejurulatihan dan pentadbiran.

Secara peribadi, saya tidak fikir Tunku Ismail sebagai Presiden FAM bertindak sesuka hati. Pasti baginda mempunyai alasan kukuh sebab tindakan seperti itu terpaksa diambil. Seperti yang dilaporkan oleh pihak media, tindakan FAM itu berkaitan dengan masalah kewangan yang dihadapi oleh persatuan berkenaan.

FAM berhadapan dengan isu kekurangan dana sebanyak RM40 juta. Atas sebab itu saya amat bersetuju dengan kenyataan Tunku Ismail, jika FAM tidak mempunyai wang bagaimana badan induk bola sepak itu mampu menguruskan segala yang berkaitan dengan kepentingan bola sepak negara seperti Liga Malaysia (Liga M) .

Begitu juga usaha untuk membentuk satu skuad senior yang mantap dan kuat dan tidak terkecuali pasukan bawah 23 tahun kebangsaan. Sudah pasti kedua-dua usaha itu memerlukan kos yang banyak kerana turut melibatkan perlawanan persahabatan dengan pasukan negara lain.

Apapun saya yakin Tunku Ismail mempunyai sentuhan ajaib jika diberikan peluang secukupnya. Lagipun Tunku Ismail mempunyai rekod kejayaan iaitu bagaimana baginda berjaya menjadikan kelab JDT sebagai salah sebuah kelab terbaik di rantau ini. Buktinya, JDT berjaya menjadi juara Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), 1 November 2015. Selamat bertugas Tunku!

PEMINAT TEGAR

Tampin