Hal ini terjadi mungkin kerana bagi pelajar yang dikejar adalah sekeping kertas bernama ijazah, sama ada ijazah sarjana muda, sarjana mahu pun doktor falsafah.

Sijil tersebut seolah-olah menjadi alat untuk membangunkan masa hadapan, sebagai prasyarat utama memasuki dunia kerjaya malah menjadi kayu ukur untuk diiktiraf kepakarannya, yang pada dasarnya tidak salah tetapi apabila keterlaluan maka akan terbuka kepada penyalahgunaan dan penyelewengan.

Semasa teknologi belum lagi sehebat seperti sekarang, sudah timbul kisah pemalsuan sijil ijazah, apatah lagi dengan kemajuan teknologi yang begitu canggih yang boleh menghasilkan apa sahaja barang tiruan yang sukar dikesan pemalsuannya.

Begitu juga dengan sikap pelajar meniru atau menciplak dalam tugasannya yang merupakan dosa besar dalam dunia akademik berkait rapat dengan integriti dan akauntabiliti boleh dikenakan hukuman yang serius di bawah peraturan universiti yang ada. Malangnya, ini tidak cukup untuk menghalangnya daripada berlaku.

Jangan pula mengaitkan hal seperti ini dengan sekumpulan kaum tertentu pula. Semua ini berlaku merentasi warna kulit, kaum dan agama. Jenayah dan sikap tidak berintegriti sentiasa buta warna walaupun nanti ada pula yang berkecenderungan untuk menstereotaipkannya.

Falsafah ilmu perlu diperjelaskan seawal mungkin pengajian seseorang pelajar agar dia memahami tujuannya berada di universiti dan maksud sebenar ilmu yang diterokai. Tujuannya memasuki universiti bukan hanya untuk mengejar segulung ijazah, tetapi untuk menguasai ilmu dengan matlamat yang jelas.

Seseorang pelajar perlu faham universiti adalah medan membangun jati dirinya yang sentiasa menghormati orang lain, membangunkan dan memperkasa kompetensi dan bakat diri, berupaya membangun kesejahteraan dan kebahagiaan masa hadapan masyarakat dan negara serta nantinya dapat menggunakan ilmunya sebaik mungkin untuk menerokai masa hadapan dunia yang semakin kompleks.

Dekan Kolej Harvard, Harry R. Lewis (2006) Excellence Without a Soul mengingatkan agar universiti tidak hanya berfokus kepada menjadi yang terbaik dalam rangking dunia, hebat dalam penerbitan dan unggul dalam penyelidikan, tetapi mesti kembali kepada asas penubuhan universiti untuk menyediakan anak-anak muda yang peka kepada pembangunan negara bangsa, nilai-nilai hidup yang tinggi serta berupaya menggunakan fikiran dan kebijaksanaan (wisdom) dalam membangunkan kesejahteraan masa hadapan negara mahupun dunia.

Justeru, ahli-ahli akademik dan para pentadbir universiti mahupun penggubal dasar perlu terus menekankan kepentingan nilai hidup yang dapat dikongsi bersama, penegasan kepada falsafah pendidikan dan tidak hanya berbangga dengan ijazah dan gelaran.

MOHAMAD ABDULLAH
Universiti Sains Malaysia