Ini juga menandakan bahawa tinggal kurang seminggu sahaja lagi untuk umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Kebiasaannya, perkara pertama yang sering dilakukan kita di pagi raya ialah memohon dan memberi maaf kepada ahli keluarga dan sanak-saudara.

Namun, apa kata pada tahun ini kita memohon dan memberi maaf kepada semua orang pada saat ini juga, tanpa menunggu tibanya pagi Syawal?

Setiap hari, semua orang berhadapan dengan pelbagai situasi, keadaan, dilema mahu pun konflik yang mencabar tahap kesabaran dan keimanan.

Lihat sahaja masalah-masalah yang berlaku di sekeliling kita yang timbul daripada salah faham,perbezaan pendapat dan rasa tidak puas hati.

Kisah-kisah seperti pergaduhan suami isteri kerana cemburu dan syak wasangka, pergaduhan adik beradik kerana perebutan harta pusaka, serta pergaduhan masyarakat kerana tidak lagi berpegang kepada prinsip yang sama sering disiarkan di media massa dan sosial.

Konflik yang berlaku mewujudkan sifat marah, dendam dan hasad dengki dalam diri seseorang. Lebih malang lagi, perasaan ini menyebabkan berlakunya pergaduhan dan pembunuhan sesama insan.

Dari sudut psikologi, situasi ini sedikit demi sedikit telah mengikis rasa kasih sayang, sopan santun dan akhlak mulia seseorang individu. Jiwa mereka menjadi sakit, lemah dan menderita. Kajian juga menunjukkan bahawa konflik atau pergaduhan yang berterusan juga boleh menjadikan seseorang itu tertekan dankemurungan, kesunyian dan tahap kesihatan atau daya tahan tubuh badanmenurun.

Oleh itu, jiwa yang sedang menderita ini perlulah diubati segera dengan memberi maaf dan memohon maaf kepada semua orang dengan hati yang ikhlas dan penuh kasih sayang. Sekiranya sukar, mulakanlah dengan senyuman yang mungkin akan membuka hati kita untuk berbicara dengan mereka dan meleraikan segala salah faham yang berlaku.

Maafkanlah juga diri sendiri terlebih dahulu kerana mungkin kelakuan dan sikap kasar kita selama ini telah menzalimi diri sendiri dan orang lain. Kita juga hendaklah bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT atas kesilapan yang telah kita lakukan kepada orang lain serta berazam untuk tidak mengulanginya.

SARIFAH NURHANUM 
SYED SAHURI