Kepada para ibu bapa, usahlah bimbang kerana anak-anak mereka kini berada di tangan pendidik yang terpilih, hebat dan berdedikasi. Berilah anak-anak tersebut ruang dan peluang untuk mencambah minda dan pemikiran masing-masing dalam suasana persekitaran yang terkawal dan berbeza.

Kepada anak-anak yang tidak terpilih, janganlah terlalu kecewa kerana kejayaan boleh bermula di mana-mana sahaja asalkan kita tekun, rajin, berdisiplin dan sentiasa berdoa agar dipermudahkan perjalanan hidup ini.

Apa pun tidak dinafikan anak-anak yang terpilih memasuki sekolah asrama penuh lebih terdedah kepada sifat berdikari kerana kebanyakan perkara sama ada dalam pembelajaran dan juga kemahiran sosial akan dipelajari sendiri sambil dibantu oleh guru-guru, rakan-rakan sebaya serta senior.

Penumpuan mereka terhadap pelajaran juga akan lebih baik kerana tiada gangguan dari gajet dan televisyen yang sering berlaku jika anak-anak berada di rumah. Hasilnya, kebanyakan pelajar-pelajar berasrama penuh akan menjadi pelajar cemerlang disebabkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

Selain itu mereka turut terdedah kepada kepelbagaian budaya dan agama memandangkan ada dalam kalangan pelajar-pelajar berasrama penuh terdiri daripada pelbagai etnik serta kaum. Saya sendiri adalah bekas pelajar berasrama penuh dan sehingga hari ini kemesraan yang terbit atas sebab kepelbagaian kaum masih utuh walaupun hampir 30 tahun kami meninggalkan sekolah berasrama tersebut.

Yang pasti, bekas pelajar sekolah berasrama penuh bukan sahaja akrab dengan bekas-bekas pelajar di sekolah mereka tetapi turut menjalin persahabatan yang baik dengan bekas pelajar sekolah berasrama penuh yang lain.

Sebab itu ada sahaja aktiviti seperti pertandingan ragbi, boling dan futsal melibatkan bekas pelajar sekolah berasrama penuh seluruh Malaysia dan kadangkala turut membabitkan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Sebagai alumni dari sebuah sekolah berasrama penuh lelaki, saya juga ingin menitipkan satu kata nasihat yang perlu dipegang oleh pelajar-pelajar berasrama penuh sampai bila-bila, iaitu: “Tolong jauhi perbuatan buli kerana budaya ini hanya mendatangkan mudarat dan rasa dendam antara manusia dengan manusia.”

MOHAMMAD 
NOORIZZUDDIN NOOH

Universiti Sains Islam Malaysia