Ahli-ahli sukan yang popular kini asalnya bermula sebagai hobi dan kerana minat yang mendalam di samping bakat yang ada, mereka mula terjun secara serius dalam bidang tersebut.

Bagaimanapun, minat dan bakat sahaja tidak mencukupi jika kita benar-benar mahu berjaya dalam bidang sukan di negara ini.

Penglibatan pelbagai kelab sukan yang tumbuh bagaikan cendawan harus dimanfaatkan sepenuhnya.

Ini kerana melalui kelab-kelab tersebut usaha untuk melahirkan atlet sukan yang terlatih dan profesional adalah lebih cerah, cekap dan tersusun.

Apatah lagi, kelab-kelab sukan memiliki kelebihan dari segi kecekapan pengurusan, sistem latihan yang lebih tersusun dan teratur berbanding jika bergerak sendirian.

Untuk menjadi seorang atlet yang berjaya, persediaan alatan untuk latihan amat penting selain penyertaan dalam setiap kejohanan bagi meningkatkan keyakinan dalam diri mereka.

Selain itu, persediaan dalam aspek mental menerusi motivasi diri juga amat perlu dan pastinya mereka ini (atlet) akan didik seawal usia oleh ibu bapa mereka.

Sebagai ibu bapa, sokongan dan perhatian terhadap minat anak-anak dalam bidang sukan juga merupakan satu langkah yang amat baik bagi mendorong mereka menjadi seorang ahli sukan yang berjaya suatu hari nanti.

Rata-rata kelab sukan yang wujud turut menggalakkan penglibatan secara langsung pihak ibu bapa agar mereka tidak hanya menjadi helicopter parents.

Ini bermakudnya tugas ibu bapa tidak hanya terhad kepada menghantar dan menjemput anak-anak mereka setiap kali adanya sesi latihan mahupun ketika kejohanan.

Hal itu juga dapat mengurangkan pengabaian terhadap anak-anak terutamanya bagi mereka yang memiliki anak yang aktif terutama dalam bidang sukan.

Oleh yang demikian menyertai kelab adalah satu tindakan terbaik dan perlu difahami dengan jelas oleh semua pihak.

Malah bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti kelab sukan seperti ragbi, hoki dan sebagainya perlu bersedia untuk berfikir secara progresif dan aktif. 

MOHD NASIR ZAKARIA
Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi The Musketeers, Putrajaya