Antara momokan yang tersebar luas ialah mengenai caj perkhidmatan perbankan Islam yang lebih tinggi berbanding perbankan konvensional. Inilah yang menjadi salah satu halangan cendekiawan Islam membangunkan sistem kewangan Islam di Malaysia.

Keyakinan masyarakat harus diperkasakan secara menyeluruh. Bukan sekadar berkempen atas dasar jenama Islam tetapi harus disuluh dengan terang mengenai asas-asas sistem kewangan Islam.

Sistem kewangan Islam adalah satu tatacara pengelolaan dan pengurusan wang berdasarkan syariah. Sistem kewangan ini dipecahkan kepada banyak segmen berbeza.

Antaranya perbankan Islam, Takaful, sukuk dan lain-lain. Secara asasnya, sistem ini telah mematuhi prinsip syariah dan menjadi tanggungjawab masyarakat Muslim untuk membangunkannya.

Masyarakat bukan Islam lebih memahami isu ini sehingga 70 peratus pelanggan perbankan Islam di Hong Leong Islamic Bank Malaysia dan Bank Rakyat adalah kaum Cina berdasarkan rekod 2008.

Antara perbezaan sistem konvensional dan sistem Islam ialah kewangan Islam tidak mengamalkan riba. Ini jelas berdasarkan pengharaman riba atau sesuatu transaksi yang tidak jelas dalam sesuatu perkara.

Penglibatan dengan aktiviti haram di sisi syarak seperti perjudian, arak, pornografi dan pelacuran juga dilarang. Pembayaran zakat pula menjadi kewajipan untuk membersihkan harta.

Namun, timbul pula satu soalan yang berlegar di dalam minda masyarakat. Apakah semua institusi kewangan benar-benar mematuhi apa yang digariskan oleh Islam?

Kerisauan ini perlu diselesaikan segera supaya tidak menjadi bebanan berat kepada cendekiawan Islam sahaja dalam memartabatkan sistem kewangan Islam.

Kekeliruan ini sebenarnya telah diselesaikan oleh pihak berkuasa iaitu Bank Negara dan kerajaan Malaysia. Undang-undang berkaitan telah diluluskan Parlimen melibatkan pengurusan kewangan Islam.

Oleh itu, semua lapisan masyarakat khususnya masyarakat Muslim harus memainkan peranan dalam mempromosikan produk-produk kewangan Islam. Kempen secara besar-besaran oleh pertubuhan bukan kerajaan dan jawatankuasa masjid di seluruh negara harus diadakan untuk memperjelaskan kekeliruan mengenai sistem kewangan Islam dan menjadikannya pilihan masyarakat.

HUSNI HAMIDI MOHD. HAMDAN

Negeri Sembilan