Facebook misalnya memiliki berbilion akaun pengguna tetapi kita tidak dapat pastikan sepenuhnya sama ada setiap akaun terbabit dimiliki ‘tuan punya badan’ atau pun digunakan orang lain.

Bagi yang pakar dalam bidang komputer, mungkin agak mudah bagi mereka mengenal pasti ciri-ciri akaun palsu dalam media sosial.

Untuk yang tidak memiliki kepakaran dalam bidang komputer, amat sukar bagi mereka untuk mengetahui sama ada akaun rakan media sosial mereka adalah benar atau pun rekaan orang lain.

Terdapat banyak faktor atau pun motif kewujudan akaun-akaun palsu dalam media sosial seperti mahu mencuri identiti atau maklumat peribadi, menghina atau menjatuhkan maruah orang lain serta kepentingan politik dan jenayah.

Sama seperti berita palsu, kewujudan akaun-akaun palsu ini juga boleh membawa risiko kepada orang ramai serta mampu menjejaskan keselamatan negara.

Kesan paling berbahaya akaun-akaun palsu ini adalah terhadap kanak-kanak dan remaja yang tidak mempunyai tahap kematangan bagi menilai di antara sesuatu yang benar serta rekaan semata-mata.

Kita juga sering mendengar pelbagai berita melibatkan golongan bawah umur yang menjadi mangsa serta sasaran penjenayah melalui media sosial.

Negara kita sudah memiliki beberapa akta yang berkaitan bagi membendung ancaman akaun-akaun palsu ini seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan Kanun Keseksaan [Akta 574] serta agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Namun, isu akaun dan berita palsu masih sukar dibendung kerana bilangan akaun pengguna media sosial sentiasa meningkat saban tahun.

Oleh itu, satu peruntukan undang-undang khusus bagi mengendalikan isu akaun palsu ini perlu diberi perhatian sewajarnya.

Penubuhan satu agensi penguat kuasa yang mempunyai tugas khusus membendung masalah kewujudan akaun-akaun palsu dalam media sosial juga boleh diberi pertimbangan bagi mengekang aktiviti tidak bermoral dan jenayah dengan berselindung di sebalik nama dan akaun palsu.

DR. MUZAFFAR
 SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia