Apa yang berlaku sekarang semakin hampir selesai, tetapi proses penyelesaian ini diganggu-gugat dan dicabar oleh segelintir pengamal adat yang mendakwa kononnya ‘dia’ yang layak untuk dimasyhurkan menjadi Undang Luak Jelebu.

Inilah episod yang memerangkap Jawatankuasa Siasatan yang diamanahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri sejak timbulnya kontroversi pelantikan Undang Jelebu bagi menggantikan Datuk Undang Musa Abdul Wahab yang meninggal dunia pada 11 September 2014.

Dalam proses penyelesaian ini, jawatankuasa tersebut telah memaklumkan bahawa prosedur yang ditetapkan tanpa mengetepikan soal kerukunan adat termasuk mengikut giliran jurai-jurai perut, keadilan dan keutamaan.

Kes pelantikan baharu Datuk Menteri bergelar Sah Mangku Alam Raja Sari telah digilirkan kepada perut Durian Daun. Satu lagi pelantikan Datuk Lembaga Maharaja Inda telah diserahkan kepada perut Bemban untuk dimuktamadkan sebelum akhir bulan ini.

Dua kedudukan lembaga inilah yang menjadi isu dan rintangan cuba dimonopoli dan diganggu-gugat oleh individu yang mendakwa ‘Undang Jelebu’. Kedudukan dua Datuk Lembaga ini penting iaitu Datuk Menteri secara tidak langsung adalah pemangku Undang dan Datuk Maharaja Inda adalah pewaris Undang. Dalam kes ini, talian adat kepada perut Kemin bakal penyandang.

Biarpun panel Jawatankuasa Siasatan telah memberi panduan dan nasihat secara berhemah mengikut lunas-lunas adat, tetapi Datuk Menteri yang diamanahkan dari perut Durian Daun, Ismail Mohd. Zain telah mencabar semula Jawatankuasa Siasatan membantah giliran lantikan Datuk Lembaga Maharaja Inda diberi kepada perut Bemban.

Sama ada disedari atau tidak, saya percaya Jawatankuasa Siasatan tahu kedudukan sebenar bahawa bukan salah jawatan yang digilirkan tetapi orang yang diamanahkan salah guna jawatan hingga peraturan adat pun dipersendakan.

Ini terbukti dalam kes pelantikan kononnya Undang ke-16 yang dimasyhurkan oleh Ismail pada 26 Jun lalu di Kampung Kemin. Tindakan beliau bukan sahaja terang-terang mencabar Dewan Keadilan tetapi tidak mengikut adat tanpa kehadiran penuh Datuk-Datuk Lembaga delapan dan wakil kerajaan negeri.

Datuk Ombi Pangkal Maharaja Lela, Kadim Kidam sebagai Datuk yang kanan wajar bertindak atas tindakan Datuk Menteri, selagi Datuk Ombi belum menyerahkan watikah kepada Datuk Menteri menurut adat.

Kesimpulannya, Jawatankuasa Panel Siasatan perlu bertegas jika kes pelantikan Undang Jelebu ini tidak dimuktamadkan dalam masa enam bulan seperti yang dijanjikan.

Panel ini pernah memberi amaran keras jika krisis ini berlarutan, pihak panel tidak teragak-agak menarik balik kuasa yang diberikan kepada Luak Jelebu. Ini bermakna keputusan muktamad akan diputuskan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri.

PEMERHATI WARIS LUAK

Jelebu