Bermula dengan perbicaraan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dilepaskan serta dibebaskan oleh mahkamah bersabit pembelian rumahnya yang dikatakan ada unsur-unsur salah guna kuasa dan rasuah.

Kejutan seterusnya apabila beberapa pemimpin kuat UMNO isytihar keluar parti termasuk bekas menteri seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman serta bekas senator yang juga Ketua Bahagian UMNO Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee. Sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib UMNO yang kini bertungkus-lumus menaikkan kembali imej parti yang diselubungi dengan pelbagai masalah dan tuduhan terutama sekali kemelut 1MDB. Rasuah adalah ibu segala penyelewengan yang boleh melumpuhkan negara.

Berita sensasi lain melibatkan manusia yang tidak berhati perut tergamak membunuh kucing yang sedang bunting disifatkan terlalu kejam memasukannya ke dalam mesin pencuci baju sementara seorang anak dikatakan tergamak mengelar leher ibu kandungnya sendiri dan mencampakkan mayat wanita ke dalam tangki najis di belakang rumah.

Tidak lupa berita yang menjijikkan seorang anak durjana mencabul ibunya sendiri dan seorang pengetua tahfiz disyaki meliwat sembilan pelajar.

Mengapa kisah sebegini berlaku di negara kita yang permai dan rakyatnya dianggap mempunyai akhlak mulia serta berbudi bahasa dan kuat berpegang kepada agama? Mana perginya tatasusila, adab serta hukum halal haram? Masyarakat kini diperhatikan seolah-olah kembali ke zaman jahiliah walaupun mempunyai ilmu dan dikatakan bertamadun tinggi dan kuat beragama.

SYED ABDULLAH OSMAN JAMALULLAIL

Seremban