Cuma apa yang saya ingin sentuh di ruangan ini ialah mengenai nasib penoreh dan pekebun kecil getah yang kehidupan mereka semakin terhimpit berikutan penyusutan mendadak harga getah di pasaran. Boleh saya katakan harganya terus merudum dan kini berada pada tahap kritikal.

Seperti mana kita sedia maklum, harga getah sekerap terkini adalah antara RM1.80 hingga RM2 sekilogram. Harga yang ditetapkan itu tidak setimpal dengan upah kudrat yang mereka usahakan selama ini. Mahu tidak mahu kerajaan perlu segera mencari jalan untuk membantu golongan terbabit.

Lebih memeritkan lagi jika hasil getah itu terpaksa dikongsi dengan pemilik kebun. Agak-agak berapa ringgit sahaja yang tinggal. Sebagai contoh bagi mendapatkan hasil 100 kilogram getah sekerap, penoreh perlu menoreh selama seminggu.

Setelah dijual kepada peraih, mereka hanya mampu mendapat dalam sekitar RM180 sahaja. Itu pun jika kebun getah milik sendiri. Sekiranya dibahagi pula dengan pemilik kebun, penoreh hanya memperoleh sekitar RM90 seorang. Dengan duit yang tinggal tidak seberapa itulah digunakan untuk belanja seharian.

Bayangkan jika terdapat anak-anak mereka yang masih bersekolah. Beginilah keperitan yang terpaksa ditanggung oleh rata-rata penoreh getah ketika ini. Kehidupan mereka begitu terhimpit disebabkan harga getah di pasaran yang terlalu murah.

Justeru, sudah sampai masanya pihak kerajaan Pakatan Harapan menetapkan harga siling getah sekerap kepada RM3 sekilogram daripada RM2 sekilogram. Langkah ini wajar dilakukan segera dalam usaha membela golongan yang sangat memerlukan. Saya juga amat berharap pihak kerajaan tidak memandang isu ini sebelah mata kerana jelas ia membabitkan isu kemanusiaan.

OUI SAL

Tanah Merah, Kelantan