Tempat kerja yang harmoni serta kurang tekanan dapat menjamin kesihatan mental serta fizikal malah menjamin keselamatan semua pihak.

Ini membolehkan majikan serta pekerja memberi fokus terhadap urusan kerja sekali gus meningkatkan produktiviti organisasi tersebut.

Sesetengah isu yang memberi tekanan mungkin tidak dapat dielakkan. Oleh yang demikian, adalah penting bagi semua pihak memberi kerjasama bagi mencari jalan penyelesaian terbaik seterusnya mengurangkan tekanan yang dihadapi dengan merangka strategi berkesan bagi mewujudkan sebuah tempat kerja yang lebih harmoni.

Pematuhan terhadap segala bentuk peruntukan undang-undang serta segala polisi yang berkaitan dengan tempat kerja dalam negara kita perlu diamalkan pada setiap masa.

Buat sekian lama, negara kita telah mewartakan pelbagai jenis peruntukan undang-undang serta polisi yang berkaitan dengan tempat kerja bagi memastikan semua majikan serta pekerja menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik mungkin.

Ini termasuk perkara-perkara yang termaktub dalam Akta Kerja 1955 (Akta 265), Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan lain-lain.

Dalam pembentangan Bajet 2018, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah mencadangkan majikan mewujudkan Skim Aturan Kerja Fleksibel (FWA) yang memberi kelonggaran tempoh, tempat dan waktu berada di tempat bekerja terutama sekali kepada pekerja wanita.

Cadangan tersebut membuka peluang kepada pekerja untuk mengimbangi tugasan di pejabat dan tanggungjawab terhadap keluarga masing-masing.

Langkah ini dilihat dapat mengurangkan tekanan seseorang pekerja malah disambut baik ramai majikan di seluruh negara.

Walaupun begitu, usaha harus dipertingkatkan lagi bagi menggalakkan semua majikan di sektor awam dan swasta dalam negara kita untuk mengadakan skim FWA berkenaan di tempat kerja masing-masing.

Dalam pada itu, kerajaan juga boleh memberi pertimbangan terhadap beberapa cadangan bagi mewujudkan polisi persekitaran yang boleh mengimbangi antara kerja dan keluarga (work life balance policy).

Contohnya, cadangan untuk menggalakkan semua tempat kerja tanpa mengira sektor pekerjaan untuk memiliki sebuah tempat penjagaan kanak-kanak bagi memudahkan urusan pihak pekerja yang mempunyai anak-anak kecil.

Selain itu, pihak majikan juga perlu lebih bertoleransi dalam memberi tugasan kepada kakitangan masing-masing.

Majikan tidak seharusnya membebani pekerja dengan pelbagai jenis tugasan di luar kemampuan, bidang kuasa ataupun melangkaui ketetapan kontrak kerja.

Adalah penting juga pihak majikan merangka Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang lebih realistik serta sesuai dengan bidang tugas dan keadaan tempat kerja masing-masing.

Majikan juga perlu memberi penghargaan terhadap pekerja yang telah melaksanakan tugasan mereka dengan baik.

Sebagai balasan, pekerja juga perlu melaksanakan sesuatu pekerjaan yang telah diamanahkan dengan sebaik mungkin tanpa leka atau cuai.

Pekerja perlu menghargai segala kemudahan dan kepercayaan yang telah diberikan oleh pihak majikan kepada mereka.

Bukan sahaja budaya toleransi, kerjasama serta saling memahami penting untuk keharmonian tempat kerja, paling utama sekali adalah kesungguhan dan keinginan pekerja mahupun majikan memupuk suasana harmoni atau rela dibelenggu tekanan.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia