Dr. Mahathir bijak memanipulasi keadaan. Pada saat Lim Kit Siang diserang bertubi-tubi sebagai ketua sebenar Pakatan Harapan, Dr. Mahathir rela diperalatkan demi menyelamatkan agenda peribadi beliau. Pada saat Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan menjadi Perdana Menteri dalam masa terdekat (sekiranya menang), Dr. Mahathir tampil memberikan harapan palsu kepada penyokong Pakatan Harapan.

Masih ingat lagi dengan ribuan janji Dr. Mahathir bahawa Anwar adalah pengganti beliau sebagai Perdana Menteri pada 1996-1998? Bahkan beliau pernah ‘berdrama’ dengan meletakkan Anwar sebagai pemangku Perdana Menteri selama tiga bulan konon bertujuan mempersiapkannya sebagai Perdana Menteri. Dilalaikan lagi Anwar apabila Dr. Mahathir memberitahu semua rakyat Malaysia bahawa bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu telah lulus dengan cemerlang semasa memangku jawatan Perdana Menteri!

Gegak gempita penyokong Anwar bersorak. Bahkan dalam temu bual dengan media antarabangsa pada 1 Ogos 1998, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak akan memecat Anwar biarpun berbeza pandangan. Namun pada 2 Ogos 1998, seluruh dunia gempar dengan berita pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Dr. Mahathir dengan muka selamba menjawab Anwar ada masalah moral dan me***** pembantunya. Hakikatnya, selama beliau memuji dan mengangkat Anwar, ada gerakan tersembunyi didalangi beliau sendiri bagi menyingkirkan Anwar. Betapa licik dan hipokritnya permainan politik Dr. Mahathir!

Banyak pendapat pimpinan Pakatan Harapan yang menyatakan bahawa peristiwa itu telah menjadi sejarah dan perlu move on. Namun hakikatnya, sementara kita mempersiapkan masa hadapan, jangan kita mengulangi kesilapan masa lalu. Apabila Dr. Mahathir mengatakan beliau mahu menyelamatkan Malaysia, jangan dilupakan skandal urus niaga mata wang asing RM31 bilion yang didalangi beliau.

Apabila Dr. Mahathir berkata mahu membanteras kronisme, ingatlah kekayaan anak-pinak beliau yang maha kaya raya melalui lebih 400 syarikat berdaftar. Siapa yang mengatakan DAP adalah parti cauvinis Cina selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri?

Namun kini, lidah bercabang beliau mengatakan sebaliknya, sanggup diperalatkan demi menyelamatkan karier politik anak beliau, Datuk Seri Mukhriz. Apabila beliau mengatakan mahu menjadi Perdana Menteri sementara, ingatlah tiga Timbalan Perdana Menteri yang telah beliau singkirkan semasa menjawat jawatan itu.

Amat bahaya jika kita kembali semula ke era Mahathirisme. Oleh itu, kesilapan lama jangan kita ulangi demi mempersiapkan masa depan yang gemilang. Usah dituruti mereka yang menyokong Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri kerana mereka ini semuanya lidah bercabang.

Suatu ketika dahulu mahu menjatuhkan beliau dengan retorik reformasi. Kini mahu melaksanakan reformasi itu dengan dipimpin Dr. Mahathir. Kegilaan apakah yang telah melanda mereka? Jangan kita juga sama-sama diheret mereka yang gila ini. Harap kita jangan menjadi gila memilih sesuatu yang kita sudah tahu gila.

ANUAR SHAARI

Kuala Lumpur