PENDUDUK sekitar surau Al-Ittihadiyyah, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor, kecewa dengan penutupan dewan solat utama sempena Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini. GAMBAR IHSAN PEMBACA

Malah lebih mengecewakan lagi, surau berkenaan ditutup selama empat hari mulai tarikh berkenaan atas alasan mengelakkan daripada berlaku kes tidak diingini seperti kecurian.

Disebabkan penutupan ruang itu, azan tidak dapat berkumandang kerana peralatan pembesar suara berkunci di bahagian dalam. Tindakan pihak pengurusan juga memberi mesej bahawa solat berjemaah secara rasmi tidak dijalankan kerana tiada imam dan bilal bertugas.

Ini kerana, jika orang ramai ingin mengerjakan solat, mereka hanya boleh berbuat demikian di bahagian kanan dan kiri serambi surau sekali gus menggambarkan seolah-olah rumah ibadat itu hanya untuk kegunaan golongan musafir sedangkan ramai ahli kariah tidak pulang ke kampung ingin bersembahyang di dewan solat utama.

Situasi itu ternyata mengundang kemarahan penduduk kerana sepanjang tempoh 20 tahun, belum pernah berlaku kes surau ditutup sempena hari raya.

Sepatutnya, pihak pengurusan melantik ahli jawatankuasa yang bertugas menerusi sistem giliran sepanjang musim raya seperti diamalkan di kebanyakan surau dan masjid lain.

Malah, tindakan pihak pengurusan jelas membelakangi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menaungi pengurusan masjid dan surau di negeri ini.

Rata-rata penduduk meluahkan kekecewaan dalam kumpulan WhatsApp disebabkan alasan diberikan tidak realistik kerana surau itu turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV). Tambahan pula, seorang pengawal keselamatan turut bertugas sepanjang cuti musim perayaan.

Justeru, saya berharap pihak MAIS dan JAIS menyiasat perkara berkenaan supaya tidak berulang kes pihak yang bertindak sewenang-wenangnya menutup surau dengan alasan cuti hari raya.

PENDUDUK KECEWA

Seksyen 9, Shah Alam