Sebenarnya, Dr. Mahathir tidak diberi maklumat tepat dan betul berkenaan program itu.

Sebagai seorang yang bijaksana, tidak mungkin beliau akan bersetuju PPSMI dilaksanakan semula jika telah diberi taklimat akan hasil banyak kajian mengenai kegagalan program itu.

Kajian oleh beberapa buah universiti, badan seperti Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina), malah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri yang jelas menunjukkan kesan amat negatif akibat pelaksanaan PPSMI selama tujuh tahun dari 2003 hingga 2009.

Hasil kajian itu mendapati penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris cuma meningkat kira-kira 4% selama tujuh tahun PPSMI dilaksanakan berbanding wang lebih RM5 bilion dibelanjakan.

Jika matlamatnya adalah untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, jelas PPSMI telah gagal.

Dalam pada itu, adalah tidak wajar diserahkan sepenuhnya kepada guru Sains dan Matematik untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar.

Keutamaan mereka samalah seperti guru mata pelajaran lain untuk memberi input yang berkaitan subjek diajar sahaja, bukan menyampai tatabahasa, kosa kata dan lain-lain.

Tugas utama adalah terletak kepada guru Bahasa Inggeris.

Oleh itu, adakah Kementerian Pendidikan telah membuat perancangan bagi meningkat pengajaran Bahasa Inggeris?

Berapakah jumlah guru Bahasa Inggeris di sekolah dan apakah kelulusan mereka. Adakah mereka telah menjalani latihan profesional termasuk latihan dalam perkhidmatan?

Apakah seminar, forum, latihan peringkat daerah, negeri dan kebangsaan yang dikendalikan kementerian bagi mempertingkat tahap profesionalisme sejajar dengan perkembangan teknologi semasa?

Apakah bahan yang disediakan oleh kementerian mencukupi dan bersesuaian dengan alaf 21 ini sama ada dari segi kurikulum, kandungan mata pelajaran, buku teks, penilaian, bahan bantu pengajaran termasuk kemudahan multimedia, internet dan bahan interaktif?

Amat tidak adil jika guru bidang lain seperti Sains dan Matematik atau guru Sejarah pula yang ditugaskan untuk ‘membetulkan’ kemahiran bahasa Inggeris yang bertahun-tahun gagal ‘diurus’ oleh guru Bahasa Inggeris.

Pastinya ada yang tidak kena dengan kaedah pengajaran, kurikulum, buku teks, bahan bantu, penilaian dan sebagainya yang sangat memerlukan penilaian semula kementerian itu sendiri.

Selama ini pemegang taruh Bahasa Inggeris diam menyepi dan jabatan Sains dan Matematik pula yang menjadi seakan-akan tanduk yang dipulas.

Malang sekali guru Sains dan Matematik, sudahlah kedua-duanya bukanlah subjek yang mudah atau popular dalam kalangan pelajar menengah khususnya, latihan pendidikan khusus yang diterima pun berbeza, penguasaan bahasa Inggeris mereka juga umumnya tidak sebaik guru yang bidangnya memang Bahasa Inggeris.

Kini mereka dibebankan dengan tugas baharu yang bukan bidang, bukan keahlian, malah bertambah berat, untuk memandaikan Bahasa Inggeris serta Sains dan Matematik.

Elok-elok, Sains dan Matematik diajar dalam bahasa yang lebih difahami iaitu bahasa Melayu, mereka dipaksa mengajar kedua-dua subjek dalam bahasa lain yang lebih susah difahami.

Bijaksanakah keputusan kita, jika terus melaksanakan PPSMI yang telah dibuktikan gagal?

Bijakkah kita memilih untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa yang lebih sukar berbanding bahasa sendiri yang lebih mudah difahami?

Malah selepas pelaksanaan PPSMI, jumlah pelajar jurusan sains di peringkat matrikulasi dan universiti menurun dengan banyaknya sehingga gred kelulusan kemasukan terpaksa direndahkan.

Ini untuk meningkatkan sedikit bilangan pelajar jurusan sains di samping bilangan pelajar teknikal vokasional pun diambil kira sebagai pelajar jurusan sains tulen.

Tidakkah ini adalah satu ‘penipuan’ kepada diri sendiri. Bahana apakah yang kita tempah untuk masa depan negara dengan menghancurkan keupayaan bahasa negara sendiri sebagai bahasa sains dan teknologi hanya akibat terpesona dengan bahasa Inggeris.

KAMAL SHUKRI 
ABDULLAH SANI
Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM)