Menurut Nur Jazlan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah diarahkan supaya meneliti dan menyelesaikan segera status ATST bagi setiap kes untuk mempermudahkan golongan itu membuat pendaftaran.

Menurut beliau, perkara itu boleh dilakukan mengikut budi bicara tetapi haruslah mempunyai dokumen lengkap dan mengikut Perlembagaan.

Sehubungan itu, Nur Jazlan memohon ibu bapa yang me­ng­alami masalah berkaitan anak mereka seperti disebabkan berkahwin di luar negara, tampil ke JPN untuk menyelesaikan masalah itu.

Kenyataan itu adalah susulan saranan yang diberikan oleh Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia pada 11 Jun lalu serta penulis, Abdul Hakim Abdullah pada 4 Jun lalu.

Kedua-dua mereka membangkitkan isu pernikahan di luar negara yang telah disahkan oleh kerajaan Malaysia (melalui konsul jeneral), tetapi dinafikan kesahihannya oleh jabatan agama negeri-negeri (kecuali Perlis).

Akibatnya, anak berkenaan telah didaftarkan di JPN dengan status ATST (berbinkan Abdullah) walaupun pernikahan itu sah dari segi syarak dan akhirnya menyebabkan anak berkenaan menanggung persepsi negatif masyarakat sebagai anak zina sepanjang hayatnya.

Menurut Mohd. Asri, perkara itu adalah satu bentuk ‘kezaliman’. Tidak dibinkan kepada si bapa sehingga menyebabkan orang menganggap si anak itu ialah anak luar nikah.

“Pihak pendaftaran secara tidak langsung macam menyebabkan orang menuduh orang lain berzina. Itu merupakan kesalahan besar dalam agama padahal dia (pasangan) tidak berzina pun,” kata Mohd. Asri.

Ekoran kenyataan Nur Jazlan itu, saya telah pergi ke pejabat JPN Kedah di Anak Bukit, Alor Setar, untuk merujuk sijil kelahiran anak saya yang berstatus ATST kerana bernikah di Songkhla, Thailand.

Bagaimanapun, pegawai bertugas memaklumkan bahawa mereka tidak mendapat sebarang arahan daripada pihak atasan susulan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri itu.

Saya berasa amat sedih dan kecewa dengan maklum balas yang diberikan pegawai berkenaan. Kenyataan Nur Jazlan yang pada awalnya sudah memberi sinar baharu kepada anak berstatus ATST daripada pasangan yang bernikah mematuhi syarak di selatan Thailand serta mempunyai dokumen dari konsulat Malaysia, ternyata tidak dilaksanakan di peringkat bawahan.

Saya berharap pihak Kementerian Dalam Negeri dapat memperjelaskan perkara ini agar tidak menganiaya ibu bapa lain yang turut hadir ke JPN selepas membaca kenyataan akhbar itu. Kasihan mereka terpaksa pulang dengan hati kecewa.

BAPA KECEWA

Alor Setar, Kedah