Skrin besar dalam Stadium Nasional Bukit Jalil sudah memaparkan stadium adalah kawasan larangan merokok. Penuh papan tanda amaran di setiap lorong. Terima kasih dan syabas kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang mengambil inisiatif ini.

Situasi yang sepatutnya tidak berlaku adalah penyokong yang selesa di atas kerusi terpaksa menghidu asap rokok yang dihembuskan tanpa bertimbang rasa. Setahu saya, tiada sesiapa pun yang suka dengan situasi tersebut.

Saya berpendapat, isu ini perlu diselesaikan segera dengan kerjasama penguat kuasa yang lain, Kementerian Kesihatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Saya berharap Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad membaca artikel ini dan dapat mengerahkan anggota penguat kuasa kementerian itu untuk mengambil tindakan proaktif bagi mengelak perokok bermaharajalela di tempat awam.

Sekiranya penguat kuasa dapat mengambil tindakan terhadap perokok semasa berada di stadium, saya yakin langkah itu akan menjadi bualan hangat dalam media sosial dan seterusnya memudahkan Kementerian Kesihatan mempromosikan larangan merokok di dalam stadium.

Untuk tahun-tahun akan datang, merokok di dalam stadium seharusnya menjadi perkara yang janggal kepada masyarakat Malaysia. Tindakan ini bertepatan dengan usaha Kementerian Kesihatan menguatkuasakan larangan merokok di premis makanan dan restoran bermula 1 Januari 2019.

SAYANGI MALAYSIAKU

Bangi, Selangor